Isu kerja jadi kebimbangan utama rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Isu kerja jadi kebimbangan utama rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Keadaan ekonomi negara menjadi kebimbangan utama oleh majoriti rakyat Malaysia.

Sebuah kaji selidik oleh Merdeka Center mendapati sebanyak 58.8% responden meletakkan ekonomi negara sebagai kebimbangan utama diikuti oleh kesihatan (0.1%), hubungan perkauman (3.5%), keselamatan sosial dan awam (2.7%) serta politik (2.6%).

Lima kebimbangan utama dari segi isu ekonomi melihat peluang pekerjaan dan pengangguran menduduki tangga teratas diikuti isu gaji, kos sara hidup tinggi, keadaan ekonomi yang membimbangkan serta kekurangan peluang perniagaan.

“Berhubung masalah utama yang dihadapi oleh rakyat biasa, kaji selidik itu menunjukkan perkara penting yang berlegar dalam fikiran mereka. Enam daripada 10 responden melaporkan mereka bimbang akan keadaan ekonomi.

“Terjejas akibat pandemik COVID-19, kesihatan dan kesejahteraan merupakan isu kedua terbesar,” kata Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian. 

Kaji selidik itu dijalankan ke atas 3,415 responden pelbagai etnik bermula 15 Julai hingga 10 Ogos lalu.

Bagi isu politik, lima perkara yang menjadi kebimbangan utama mereka adalah ketidakstabilan politik, kepimpinan lemah, rasuah secara umum, kebajikan masyarakat dan kelemahan pentadbiran. 

Kaji selidik itu mendapati etnik Cina yang paling bimbang akan keadaan politik negara pada kadar 4.1%, manakala Melayu adalah yang terendah (1.9%).

Sementara itu, isu etnik pula menyaksikan kebimbangan terhadap ketidaksamaan etnik, kelemahan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan orang Melayu tidak bersatu.

Etnik Cina dan India paling bimbang akan hubungan perkauman dengan masing-masing pada kadar 8.1% dan 6.1%, manakala Melayu pada kadar 1%. - DagangNews.com