KUALA LUMPUR 9 Sept - Malayan Flour Mills Bhd. yang memiliki sebahagian pegangan dalam Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (DPDC) menerima lanjutan sebulan daripada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengemukakan penyerahan bertulis, berikutan keputusan penetapan harga makanan ayam yang dicadangkan oleh badan pemerhati persaingan yang dikenakan terhadapnya.
"MyCC telah memberi tempoh kepada DPDC untuk menfailkan penyataan bertulis ini mulai 20 September hingga 21 Oktober 2022, pukul 12 tengah hari," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
MFM menyertai anak syarikat 80% milik PPB Group Bhd. menerusi FFM Bhd., dan unit Leong Hup International Bhd, iaitu Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd. (LFM) yang turut menerima lanjutan sebulan untuk menjawab dakwaan penetapan harga MyCC.
Pada 5 Ogos lalu, MyCC mendapati 5 pengilang makanan ayam dikesan terlibat dalam perjanjian anti-persaingan dan amalan bersepadu untuk menaikkan harga makanan ayam.
Selain FFM, LFM dan DPDC, dua lagi syarikat yang didakwa melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) ialah Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn. Bhd. dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd.
Hasil siasatan yang dijalankan menunjukkan syarikat berkenaan menaikkan kuantum harga makanan ayam yang mengandungi kacang soya dan jagung sebagai bahan utamanya, di antara awal 2020 sehingga pertengahan 2022.
Sekiranya DPDC didapati melanggar Akta Persaingan 2010, MyCC telah mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan sebanyak RM70.02 juta — sehingga 10% daripada perolehan berkaitan DPDC semasa tempoh pelanggaran. - DagangNews.com