Isu tenaga buruh boleh jejaskan jualan SCGM, Kenanga Research kurangkan unjuran FY22 | DagangNews Skip to main content

Isu tenaga buruh boleh jejaskan jualan SCGM, Kenanga Research kurangkan unjuran FY22

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap SCGM Bhd., sebaliknya menyemak turun harga sasaran lebih rendah kepada RM2.80 daripada RM2.97 berikutan prestasi suku kedua yang kurang memberangsangkan. 

 

Pada suku berakhir 31 Oktober 2021 itu, untung bersih SCGM susut 18.6% kepada RM7.83 juta daripada RM9.61 juta bagi tempoh sama tahun lalu, disebabkan harga resin yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bagaimanapun meningkat 18.9% kepada RM72.54 juta berbanding RM61.01 juta bagi tempoh sama tahun lalu ekoran permintaan tinggi bagi pembungkusan makanan dan minuman (F&B) dalam bentuk termo serta peningkatan 24.1% dalam jualan domestik kepada RM49.21 juta, dan peningkatan 9.3% dalam jualan eksport kepada RM23.34 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif 6 bulan, untung bersih SCGM susut 9.9% kepada RM16.11 juta daripada RM17.88 juta manakala pendapatan meningkat 20% kepada RM141.84 juta daripada RM118.23 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.  

 

"Keuntungan bersih teras separuh pertama (6 bulan) sebanyak RM16.3 juta adalah di bawah jangkaan kami, membentuk 42% daripada anggaran tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

"Bagi tahun ke tahun, SCGM merekodkan pendapatan separuh pertama yang lebih tinggi tetapi gagal mengekalkan margin disebabkan perbelanjaan berkaitan COVID-19 dan kos bahan mentah yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan dan untung bersih teras bagi FY22 masing-masing sebanyak 3% dan 5% kepada RM283.6 juta dan RM36.7 juta dengan mengambil kira faktor kekurangan tenaga buruh yang akan menjejaskan jumlah jualan pada suku seterusnya dan kos pentadbiran yang tinggi. 

 

"Merujuk kepada polisi dividen 40%, kami menganggarkan dividen sesaham bagi FY22/FY23 sebanyak 7.6/8.5 sen, yang mencerminkan hasil sebanyak 3.1/3.5%," tambahnya. 

 

Menurut Kenanga Research, harga resin telah meningkat sejak Julai disebabkan gangguan bekalan elektrik di China dan masalah pengangkutan. 

 

Namun, katanya, SCGM boleh menanggung kos yang lebih tinggi dengan menaikkan harga jualan purata (ASP). 

 

"Pada masa akan datang, SCGM akan memberi tumpuan kepada segmen pembungkusan makanan bagi untuk mencapai campuran produk yang lebih menguntungkan dan margin lebih tinggi.

 

"Kami mendapati kadar penggunaan SCGM berada pada 65 hingga 70% berbanding 55 hingga 60% ketika tempoh sekatan pergerakan bagi memenuhi tempahan yang tertunggak," katanya. 

 

Firma itu bagaimanapun melihat permintaan kukuh bagi produk SCGM tetapi berhati-hati dengan penghantaran pesanan disebabkan masalah kekurangan tenaga buruh. - DagangNews.com