TAWAU 22 Feb - Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah akan meneliti secara khusus berkaitan isu tenaga buruh dan bahan mentah industri perkayuan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, semua pihak termasuk Jabatan Perhutanan Sabah digesa untuk terus memberi sokongan dalam menangani isu berkenaan.
Katanya, ia bagi memastikan masalah kekurangan dan keperluan bahan mentah dalam industri terbabit dapat diselesaikan.
“Banyak perkara dibincangkan dengan beberapa pemain industri dalam lawatan ke kilang perusahaan perkayuan, Integrated Wood Processing Sdn. Bhd. (IWP).
"Antara perkara yang dibincangkan termasuklah mengenai isu buruh dan bahan mentah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran IWP, Kong Hon Ping, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian, Thomas Logijin; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan; Presiden STIA, PJ Tan; Ketua Pegawai Eksekutif IWP, Simon Law; dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawala yang juga ahli STIA, Rahman Khan.
Joachim berkata, disebabkan masalah dihadapi itu, produktiviti kilang hanya beroperasi pada 50% kapasiti berikutan kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah juga terjejas.
"Sehubungan itu, pihak kementerian akan meneliti segala isu berkaitan termasuk mendengar sendiri permasalahan pemain industri berkenaan sebelum penyelesaian diambil," tegasnya.
Terdahulu, Joachim merasmikan program penanaman pokok yang dianjurkan oleh Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA).
Ini adalah sebagai menyokong usaha kerajaan dalam program penanaman pokok dan juga bertujuan meningkatkan kesedaran kepada pemain industri kayu-kayan mengenai kepentingan menanam semula pokok. - DagangNews.com