KUALA LUMPUR 11 April - Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad, dua pengarah dan dua pegawai kanannya yang didakwa mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.
Difahamkan representasi itu membawa maksud defendan akan ditawarkan hukuman berbentuk denda sahaja ke atas pertuduhan yang ada.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin pada prosiding sebutan kes itu di empat Mahkamah Sesyen iaitu di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman, Hakim Kamarudin Kamsun, Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin dan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
“Satu representasi diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Mac lepas dan ia diterima pada 7 April dengan syarat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan. Kami mohon satu tarikh sebutan untuk maklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan representasi tersebut.
“Setakat ini pihak pendakwaan telah menyerahkan 90 peratus dokumen (berkenaan perbicaraan) kepada pihak pembelaan pada 7 April lepas,” katanya.
Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Serba Dinamik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO Kumpulan) Serba Dinamik Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, peguam Dylan Yeap mewakili Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, mengesahkan mengenai representasi tersebut.
Turut mengesahkan mengenai representasi itu ialah peguam Harvinder Singh Sidhu mewakili Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.
Kesemua mahkamah menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula bagi kesemua kes.
Hashley ketika ditemui pemberita selepas prosiding enggan mendedahkan butiran mengenai representasi tersebut.
Serba Dinamik, Mohd Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan Serba Dinamik, Syed Nazim, Azhan Azmi dan Muhammad Hafiz, masing-masing didakwa dengan niat
untuk menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal Serba Dinamik yang terkandung dalam laporan suku tahunan
syarikat bagi suku kewangan berakhir 31 Dis 2020.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Feb lepas mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca
bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta, jika sabit kesalahan.
Sementara itu di Putrajaya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Serba Dinamik untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi supaya syarikat itu mendedahkan kepada umum maklumat terkini dapatan fakta (FFU) oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd mengenai kewangannya sementara menunggu rayuan selesai.
Serba Dinamik memohon penangguhan perintah itu sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Feb lepas yang mengarahkan syarikat minyak dan gas itu membuat pengumuman awam mengenai FFU oleh Ernst & Young Consulting.
Ernst & Young Consulting telah dilantik untuk menjalankan semakan bebas khas ke atas akaun kewangan Serba Dinamik untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Dis 2020, dalam masa dua hari pasaran.
Prosiding hari ini dijalankan secara maya di hadapan panel tiga hakim iaitu Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Gunalan Muniandy.
Dalam keputusan sebulat suara, Lee, yang mengetuai panel hakim itu berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Serba Dinamik untuk penangguhan perintah kerana syarikat itu tidak menunjukkan sebarang keadaan istimewa atau luar biasa untuk diberikan perintah penangguhan itu.
Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa rayuan itu tidak akan bercanggah sekiranya Serba Dinamik berjaya dalam rayuannya.
Lee berkata peraturan Bursa Malaysia Securities Berhad mengenai pendedahan mengikat Serba Dinamik dan pemegang saham berhak mengetahui apa yang telah berlaku.
“Bursa tidak meminta pemohon (Serba Dinamik) bersetuju dengan kandungan laporan EY (Ernst & Young Consulting) dan pemohon mempunyai kebebasan untuk tidak bersetuju dengan laporan itu dan memaklumkan Bursa dalam pengumuman itu,” katanya sambil menambah bahawa ia adalah untuk orang ramai menilai.
Mahkamah memerintahkan Serba Dinamik membayar kos RM15,000 kepada Bursa.- DagangNews.com