Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Dis - Jade Marvel Group Bhd. dan MTG Timur Sdn. Bhd. (MTGT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek pembangunan dan pembinaan hartanah.
Kerjasama strategik itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam projek berkaitan tetapi tidak terhad kepada projek Felda sahaja.
MTGT diperbadankan pada 20 Januari 2016 telah dilantik oleh Felda sebagai pemaju eksklusif dalam projek pembangunan di tanah milik Felda di Pahang dikenali Projek Perumahan 1 Felda.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Jade Marvel berkata, MoU tersebut bertujuan bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua pihak yang boleh dicapai menerusi syarikat baharu yang diperbadankan sebagai syarikat usaha sama.
"Menerusi usaha sama ini, Jade Marvel akan memiliki 60% pegangan manakala MTGT pula memiliki lagi 40% kepentingan.
"Bilangan saham dalam peruntukan yang dipersetujui untuk dilanggan oleh kedua-dua pihak dan jumlah modal saham dalam syarikat usaha sama ini akan diputuskan pada peringkat seterusnya, selepas mengambil kira faktor seperti kos permulaan dan modal kerja yang diperlukan dalam perniagaan usaha sama ini," katanya.
Menurutnya, MoU tersebut membenarkan pihak-pihak terlibat berunding secara eksklusif sepanjang tempoh berkenaan dan menetapkan persefahaman dan hasrat berkenaan usaha sama menerusi syarikat tersebut.
"Di samping itu, ia juga membolehkan syarikat meneroka kerjasama dengan MTGT yang menjadi pemaju eksklusif bagi menjalankan projek Felda dan membolehkan syarikat meneroka peluang perniagaan baharu dalam projek pembangunan atau pembinaan khususnya projek Felda," jelasnya.
Kerjasama itu juga tidak memberi kesan kepada terbitan saham modal dan pemegangan utama Jade Marvel, termasuk pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan gearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022. - DagangNews.com