Jadikan bekalan, sumber air senarai bersama negeri dan persekutuan - UPM | DagangNews Skip to main content

Jadikan bekalan, sumber air senarai bersama negeri dan persekutuan - UPM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Pengasingan kuasa terhadap sumber dan pembekalan air bakal menjadi lebih parah dalam dekad akan datang seiring dengan peningkatan permintaan akibat pembangunan dan pertambahan penduduk serta industri. 

 

Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Mohd Yusoff Ishak berkata, ini kerana dasar pemisahan kuasa Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek bekalan air, sungai dan terusan, pengeluaran pengagihan serta pembekalan kuasa air sedangkan kawasan tadahan dan rizab sungai adalah milik kerajaan negeri sering menimbulkan pertikaian.

 

Katanya, seharusnya satu titik noktah pada kadar segera dicadangkan agar persengketaan air antara negeri di utara Semenanjung ketika ini tidak merebak kepada perbalahan sempadan geopolitik yang tidak berkesudahan malahan sia-sia.

 

"Umum sering menganggap bahawa Malaysia tidak sepatutnya berhadapan masalah bekalan air ketika musim kemarau kerana negara ini mempunyai limpahan air dan hujan yang banyak setiap tahun. 

 

"Namun, ciri, keupayaan dan kemampuan setiap kawasan tadahan menyerap air adalah berbeza-beza dan berkemungkinan tidak pada tahap yang optimum akibat perubahan guna tanah dan perubahan iklim.

 

"Dalam usaha memastikan akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi sebagai mengupayakan hak asasi manusia seperti mana diterima pakai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia perlu memberi tumpuan kepada empat punca utama isu ini yang terkait dengan perubahan iklim, pengurusan syarikat air, pengurusan permintaan serta kewajaran subsidi berlebihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Yusoff berkata, tidak banyak yang boleh dilakukan negara ketika cuaca panas dan kering yang dialami sekarang dipacu oleh fenomena El Nino menurut Agensi Makanan dan Pertanian PBB (UNFAO). 

 

Namun katanya, perancangan dan polisi yang berfokus data dan sains diperlukan dalam aspek pengurusan air semasa kemarau memandangkan negara terlalu memberi fokus kepada banjir.

 

"Merakyatkan sektor bekalan air amat diperlukan terutama apabila mentafsir keputusan Kerajaan Negeri Perak yang enggan berunding dengan Pulau Pinang mengenai perbekalan air serta tidak melaksanakan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, yang walaupun dihormati namun pastinya menyebabkan pengguna menjadi mangsa.

 

"Tentunya faktor pembeli dan penjual menjadi pemberat dalam keputusan tersebut, namun situasi ini agak janggal ketika Sabah menerima geran persekutuan sebanyak RM320 juta bagi kerja jangka pendek untuk menyelesaikan isu air. 

 

"Kegusaran air akan bertambah parah jika berlaku pencemaran manakala kerajaan negeri mula membenarkan penerokaan kawasan tadahan masing-masing," katanya.

 

Beliau berkata, isu air memerlukan penyelesaian peringkat perlembagaan yang berasaskan data dan merentasi semangat kenegerian.

 

Katanya, pelaburan dalam bentuk menyimpan air bagi kegunaan rakyat negeri adalah difahami, namun adalah lebih baik jika kerjasama negeri berjiran digembleng untuk melaksanakan strategi pengurusan lembangan rentas sempadan politik. 

 

"Negeri tidak harus mengongkong sumber air masing-masing sebaliknya harus berkongsi kemakmuran dengan membuka kemungkinan meneroka sumber baharu seperti air bawah tanah," katanya.

 

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan harus lebih tegas dalam isu air tidak berhasil (NRW) iaitu air terawat yang tidak sampai kepada pengguna. 

 

Katanya, penyaluran dana dan modal besar perlu dipantau rapi terutama demi tiada ketirisan serta memastikan pengupayaan modal insan tempatan diberi keutamaan dalam menghasilkan penyelesaian yang mampan. - DagangNews.com