TAIPING 24 Sept - Jalan Berek yang terletak di tengah-tengah bandar ini disenaraikan sebagai salah satu lokasi istimewa ke Taiping untuk dilawati pada Tahun Melawat Perak 2024.
Justeru, usaha untuk melestarikan Jalan Berek adalah satu langkah penting Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk mendorong warga di kawasan ini menjaga kebersihan dan keceriaan.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, langkah ini untuk mendorong golongan peniaga di kawasan ini menjaga kebersihan dan keceriaan premis sebagai tarikan.
Menurut beliau, ini untuk menggalakkan pemilik dan peniaga jalan-jalan lain dalam bandar Taiping agar turut serta dalam usaha ke arah yang sama.
"Dalam menyambut tahun 2024 yang merupakan Tahun Melawat Perak dan 150 Tahun Bandar Taiping, kami ingin menekankan bahawa Jalan Berek adalah salah satu daripada lokasi teristimewa di bandar Taiping.
"Di sini, terdapat beberapa keistimewaan yang tidak dapat ditemui di jalan-jalan lain di bandar ini.
"Kami yakin bahawa Jalan Berek akan terus menjadi satu simbol keindahan, keceriaan, dan warisan bandar Taiping yang kita cintai," ujarnya semasa berucap merasmikan Jejak Budaya @Jalan Berek di sini.
Hadir sama Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pokok Assam, Ong Seng Guan.
Pelbagai aktiviti dianjurkan melibatkan penyertaan seluruh lapisan masyarakat.
Antaranya pameran basikal klasik, pertandingan mewarna, busana tradisional dan memasak, senamrobik, persembahan nyanyian dan tarian pelbagai kaum, pameran serta jualan produk kraf industri kecil dan sederhana.
Tambah Khairul Amir, sejak penganjuran Program Melestarikan Jalan Berek diperkenalkan pada tahun 2021, ia telah membuka peluang baharu bagi peniaga di kawasan ini.
Katanya lagi, salah satu perkara paling ketara adalah peningkatan kedatangan pelancong.
"Dengan penekanan pada promosi Jalan Berek sebagai tumpuan pelancong, peniaga di sini juga dapat meningkatkan pendapatan mereka.
"Diharap penganjuran program ini mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Perak amnya dan Taiping khususnya serta galakkan kepada komuniti tempatan dalam menyokong usaha-usaha MPT untuk melestarikan Jalan Berek sebagai destinasi budaya yang penting di Taiping," ujarnya.- DagangNews.com