Jalil, individu pertama bukan keluarga Vincent Tan terajui BCorp | DagangNews Skip to main content

Jalil, individu pertama bukan keluarga Vincent Tan terajui BCorp

 

 


KUALA LUMPUR 17 Mac - Abdul Jalil Abdul Rasheed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (BCorp) berkuat kuasa 16 Mac 2021.

 


Beliau sebelum ini merupakan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

 

Pelantikan itu menjadikan beliau sebagai individu pertama bukan ahli keluarga Pengerusi Eksekutif BCorp, Tan Sri Vincent Tan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

 

Abdul Jalil, 38, mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching, 46, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif konglomerat berkenaan.

 

Dalam kenyataan, BCorp memberitahu, Abdul Jalil akan bekerjasama dengan Vincent dan Robin sebagai jawatankuasa eksekutif untuk terlibat dalam semua proses membuat keputusan strategik serta merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp.

 

Katanya, mandat Abdul Jalil ialah untuk meneliti semula struktur korporat BCorp., mengoptimumkan kewangan dan sumber manusia, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta tadbir urus korporat dan ketelusan.

 

“Abdul Jalil membawa pengalaman selama 18 tahun dalam pelaburan dan kepemimpinan perniagaan selepas bekerja di United Kingdom, Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura bersama syarikat pelaburan global iaitu Aberdeen Standard Investments dan Invesco Limited.

 

“Selain pengalaman pelaburan, beliau juga membawa pengalaman bertahun-tahun dengan syarikat besar berkaitan tadbir urus korporat di samping menyuntik keberkesanan serta kecemerlangan operasi.

 

“Pelantikan baharu ini adalah untuk merubah BCorp. menjadi sebuah syarikat dilembagakan dan diuruskan golongan profesional,” katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Vincent dalam kenyataan itu menyatakan rasa gembira apabila Abdul Jalil memutuskan untuk menyertai syarikat itu walaupun menerima banyak tawaran pekerjaan dari dalam dan luar negara.

 

Beliau berkata, Abdul Jalil merupakan bakat Malaysia bertaraf dunia yang berkaliber tinggi, berintegriti dan berprinsip sekali gus memberi nilai tambah kepada BCorp.

 

“Selepas bertahun-tahun menguruskan kumpulan ini dan bertahan daripada beberapa krisis kewangan global serta kemerosotan ekonomi terbaharu akibat COVID-19, saya dan Robin memutuskan sudah tiba masanya bagi kami mengatur cara organisasi, melihat semula pelbagai perniagaan, kelebihan dan kekurangan serta bagaimana caranya untuk memastikan kami bertahan pada masa depan.

 

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan Robin dan Abdul Jalil untuk mencapai objektif ini serta meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih kukuh pada masa depan,” jelas beliau. - DagangNews.com