KANGAR 25 Mac - Orang ramai khususnya graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) tidak melepaskan kesempatan merebut lebih 2,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra bermula hari ini sehingga esok.
Karnival bersempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis itu menampilkan 23 majikan yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan khususnya dalam bidang elektronik, perhotelan, peruncitan dan perkhidmatan.
Malah sehingga tengahari ini, sebanyak 770 pra pendaftaran secara dalam talian diterima dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.
Seorang pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Komunikasi Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Mohd Akashah Azmi, 22, berkata, dia datang seawal pukul 9 pagi bagi tidak melepaskan peluang merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan di sini.
Katanya, karnival seperti ini membantu pelajar sepertinya untuk berjumpa dengan majikan bagi mendapatkan peluang pekerjaan lebih awal.
“Konvokesyen saya dijadual pada tahun depan, jadi saya mengambil peluang dengan menghadiri karnival ini untuk menghantar resume pada mana-mana syarikat berkaitan dengan kursus yang saya ambil.
“Banyak syarikat menyertai karnival ini khususnya dalam bidang elektronik,” katanya.
Seorang graduan Ijazah Matematik Kewangan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Liyana Mohd Shaddi, 25, berkata, orang ramai perlu merebut peluang hadir seterusnya menyertai temu duga dengan pelbagai syarikat.
Dia yang kini bertugas sebagai sukarelawan pemberian vaksin berkata, banyak peluang pekerjaan ditawarkan, namun ia juga bergantung kepada kesanggupan individu itu sama sanggup untuk bekerja luar dari negeri ini.
“Banyak peluang pekerjaan ditawarkan cuma sanggup atau tidak sahaja bekerja di luar negeri ini. Hal demikian kerana kursus yang saya ambil mungkin agak kurang peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis, Basharudin Khalid pula berkata, pihaknya menjangkakan sambutan yang lebih mengalakkan pada Sabtu.
“Banyak peluang pekerjaan yang disediakan untuk pekerjaan di negeri ini, Kedah, Pulau Pinang dan seluruh negara.
“Kami berharap orang ramai dapat mengambil kesempatan ini kerana peluang pekerjaan sangat banyak yang boleh diceburi. Setiap individu datang juga diberi peluang untuk menjalani temu duga sebanyak tiga kali,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Sumber Manusia Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Amalina Abdul Aziz berkata, pihaknya menyokong usaha yang dilakukan Perkeso melalui karnival tersebut.
“Syarikat pemilik projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga ada membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai dan graduan melalui Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP) dalam karnival dua hari ini,” katanya. - DagangNews.com