Jangkaan IPP tumbuh lebih perlahan tahun ini tanda aktiviti ekonomi `lebih stabil' - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Jangkaan IPP tumbuh lebih perlahan tahun ini tanda aktiviti ekonomi `lebih stabil' - penganalisis

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 8 Feb – Pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian (IPP) negara dijangka tumbuh lebih perlahan pada tahun ini selaras dengan kebarangkalian bahawa Malaysia sedang memasuki tempoh aktiviti ekonomi yang lebih perlahan tetapi lebih stabil.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam melaporkan bahawa IPI 2022 melonjak sebanyak 6.9 peratus pada 2022, dan index tersebut berkembang perlahan kepada tiga peratus tahun ke tahun pada bulan Disember daripada 4.6 peratus tahun ke tahun pada bulan November.

 

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams berkata pertumbuhan yang lebih perlahan adalah perkara biasa dalam tempoh peralihan daripada kemelesetan diikuti oleh lantunan semula prestasi pengeluaran yang akhirnya akan lebih stabil dalam tempoh setahun.

 

 

Profesor Geoffrey Williams
               Profesor Geoffrey Williams

 

 

Ditanya mengenai kesan gangguan rantaian bekalan dunia ke atas prestasi IPP, beliau menjelaskan bahawa isu rantaian bekalan juga semakin reda tetapi beberapa sektor akan tetap berdepan dengan masalah tersebut kerana mengambil tempoh pemulihan yang lebih lama.

 

"Jadi walaupun ini adalah tanda pertumbuhan yang perlahan, ia juga merupakan tanda bahawa pengeluaran pembuatan dan perindustrian telah pulih dengan banyak.

 

"IPP berada di atas paras pra-COVID-19 pada 2019 dan rekod jualan adalah 30.9 peratus lebih tinggi daripada 2019, kita juga melihat dari aspek peningkatan tawaran pekerjaan dan juga gaji," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Williams turut menambah bahawa kadar pertumbuhan tahunan IPP telah perlahan sejak Ogos tahun lalu dan kadar pertumbuhan bulanan secara amnya tidak berubah untuk tiga bulan terakhir 2022.

 

"Pada masa yang sama pertumbuhan tahunan jualan pembuatan telah menjadi perlahan dan jualan bulanan secara amnya tidak berubah dalam tempoh yang sama," jelah beliau lagi.


 

tourists

 


Menyentuh tentang pembukaan semula China dan impak kepada IPP Malaysia, beliau berkata pembukaan semula China adalah penting kerana ia merupakan pasaran eksport kedua terbesar selepas ASEAN jadi eksport Malaysia secara langsung akan berkembang dan eksport Malaysia separuh siap tidak langsung ke ASEAN akan berkembang yang kemudiannya pergi ke China sebagai barangan siap.

 

"Ramalan global utama kini kurang suram disebabkan pembukaan semula China." tambah beliau.

 

Terdahulu, MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan IPP Malaysia pada 3.5 peratus tahun ini didorong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik, keadaan bekalan yang bertambah baik, tekanan kos yang berkurangan dan bekalan pekerja asing yang lebih baik.

 

Sementara itu, firma penyelidikan Ambank berkata firma tersebut menjangkakan momentum pada masa hadapan akan terjejas oleh aktiviti ekonomi global yang lemah pada 2023 apabila kesan kumulatif daripada pengetatan dasar monetari di kalangan bank pusat utama mula menunjukkan kesannya.

 

"Sebaliknya, kami melihat pembukaan semula China sebagai petanda positif untuk mengurangkan kesan daripada kelembapan ekonomi global yang akan berlaku.

 

"Di peringkat domestik, tahap kadar faedah kekal akomodatif justeru kami terus melihat sokongan datang daripada penggunaan swasta," kata Ambank lagi. – DagangNews.com