KUALA LUMPUR 7 Sept. - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan tiada hak eksklusif diberikan kepada 'Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual' (PYDT BT) untuk menguruskan sisa buangan terjadual.
Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, pihaknya telah melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara yang melibatkan 406 kemudahan PYDT BT dan 343 pengangkut.
"Ia bagi memastikan pengurusan buangan terjadual adalah berkesan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Pengurusan buangan perlu direkodkan melalui sistem dalam talian iaitu Sistem Maklumat Elektronik Buangan Terjadual atau eSWIS, selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan dengan sempurna dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, dakwaan yang mengatakan kerajaan memberi hak eksklusif kepada beberapa syarikat untuk mengendalikan buangan terjadual tular di media sosial.
Syarikat-syarikat itu didakwa mengenakan bayaran tinggi terhadap premis yang mendapatkan perkhidmatan berkenaan.
Menjawab kepada isu tersebut, JAS menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam penetapan kos perkhidmatan.
Bayaran yang dikenakan ke atas pengeluar buangan adalah ditetapkan oleh PYDT BT yang telah dilesenkan.
“Hak eksklusif yang pernah diberikan kerajaan adalah bagi operasi ‘Centralized Integrated Scheduled Waste Management Centre’ kepada Kualiti Alam Sdn Bhd selama 15 tahun bermula 1 Mac 2000 dan telah tamat pada 28 Februari 2015,” tambah Norlin. - DagangNews.com