Jati Tinggi dibuka 30 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE, premium 13%   | DagangNews Skip to main content

Jati Tinggi dibuka 30 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE, premium 13%  

Dari kiri, Dato' Ir. Lim Yew Soon, Poon Lai Kit, Chin Jiunn Shyong, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin, Dato’ Seri Lim Yeong Seong, Datuk Hamzah Mohd Tahir dan Loo May Len pada majlis pelancaran saham Jati Tinggi di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Disember 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Dis – Jati Tinggi Group Berhad, satu daripada pemain dalam bidang kejuruteraan utiliti infrastruktur, meraikan penampilan sulung di Pasaran ACE pada harga pembukaan 30 sen sesaham iaitu premium 13% daripada harga IPO sebanyak 27 sen sesaham.

 

Jati Tinggi disenaraikan di bawah nama saham “JTGROUP” dengan kod saham “0292”.

 

Melalui IPO tersebut, Jati Tinggi telah berjaya mengumpul sebanyak RM18.04 juta.

 

Peruntukan dana ini adalah seperti berikut, RM7 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM7.34 juta untuk modal kerja am yang diperuntukkan untuk projek baharu dan sedia ada, RM0.20 juta untuk pembelian mesin untuk menyokong pengembangan perniagaan, dan RM3.50 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO Jati Tinggi tarik ramai pelabur, catat lebihan langgan 16.11 kali | DagangNews

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Jati Tinggi, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, perjalanan ke arah penyenaraian ini adalah hasil usaha kerjasama, didorong oleh kerja keras dan dedikasi pasukan.

 

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam perjalanan ini,” kata beliau pada majlis pelancaran saham Jati Tinggi di Pasaran ACE di Bursa Malaysia hari ini.

 

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Jati Tinggi, Dato’ Seri Lim Yeong Seong; Pengarah Eksekutif/COO, Chin Jiunn Shyong dan ahli-ahli lembaga pengarah, Dato' Ir. Lim Yew Soon, Poon Lai Kit dan Loo May Len serta Pengarah Eksekutif Urusan TA Securities, Datuk Hamzah Mohd Tahir

 

Aktiviti teras Kumpulan merangkumi rangkaian perkhidmatan penting, termasuk perolehan, pemasangan, ujian, dan penyelenggaraan perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah dan atas, perkhidmatan EPCC pencawang, dan pembekalan dan pemasangan peralatan elektrik untuk pencawang elektrik.

 

Dengan tumpuan kepada perancangan projek dan pengurusan projek, Jati Tinggi telah mewujudkan kedudukan Kumpulan sebagai pemain penting dalam industri bekalan elektrik di Malaysia.


 

JATI TINGGI

 

 

Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku ​​Mun Fong berkata, kemunculan julung kalinya Jati Tinggi di Pasaran ACE menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan korporat mereka.

 

Katanya, dengan model perniagaan dan rancangan pengembangan strategik mereka, Jati Tinggi berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang baru muncul dalam sektor ini.

 

"Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Kami berharap dapat menyaksikan kejayaan dan pertumbuhan masa depan Kumpulan pada tahun-tahun akan datang dengan memanfaatkan peluang yang ada daripada perbelanjaan modal yang akan ditanggung oleh Tenaga Nasional Berhad menurut pengumuman baru-baru ini," ujar beliau

 

TA Securities Holdings Berhad merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO Jati Tinggi. - DagangNews.com