Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mulakan siasatan kelewatan OPV milik APMM | DagangNews Skip to main content

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mulakan siasatan kelewatan OPV milik APMM

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Sept - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mendapatkan penjelasan berhubung kelewatan penghantaran Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) kepada APMM.

 

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata selain kedua-duanya, Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat yang menganugerahkan kontrak untuk membina kapal itu, juga akan dipanggil untuk menghadap jawatankuasa itu.

 

Beliau berkata tarikh dan masa prosiding itu akan ditetapkan dan diumumkan tidak lama lagi.

 

“PAC merasakan kerajaan iaitu APMM dan Kementerian Dalam Negeri perlu menjelaskan kepada Parlimen bagi memastikan rakyat mengetahui punca sebenar kelewatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Wong berkata prosiding mengenai isu itu adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada jawatankuasa itu di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, selain Peraturan Mesyuarat 83(2) dan Perkara 11(b) Dewan Rakyat. Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 1982.

 

APMM, dalam satu kenyataan pada 13 Sept, berkata tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020, masih dalam pembinaan.

 

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, dalam kenyataan sama, berkata OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan, THHE Destini Sdn Bhd, yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

 

Pada 15 Sept, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sari Yaakob berkata PAC berhak memanggil mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kelewatan penghantaran ketiga-tiga kapal itu. - DagangNews.com