KUALA NERUS 5 Jun - Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di sini sejak Khamis lepas hingga hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 32,458 pengunjung.
Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama, Jabatan Perdana Menteri Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, seramai 6,872 orang direkodkan mengunjungi Jelajah AKM pada hari pertama dan meningkat kepada 9,959 orang pada hari kedua.
"Hari terakhir penganjuran Jelajah AKM yang berakhir pada 9 malam tadi pula mencatatkan seramai 15,627 pengunjung iaitu rekod kedatangan pengunjung tertinggi dalam tempoh tiga hari," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bertempat di Kompleks Sukan Negeri di sini, majlis perasmian penutup Jelajah AKM itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi semalam.
Sekretariat Program JAKM dalam kenyataannyai berkata, pembabitan 110 gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah ini merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan.
"Sepanjang tempoh tiga hari penganjuran, pelbagai program menarik dan bermanfaat disediakan bertujuan untuk memupuk penghayatan rakyat terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia.
"Sebanyak 28 reruai (booth) kaunter perkhidmatan mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini membabitkanpelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.
"Selain itu, sebanyak 13 kaunter perkhidmatan bergerak seperti dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian dan Kementerian Kesihatan Malaysia disediakan kepada Keluarga Malaysia yang hadir," katanya.
JAKM Terengganu dalam kenyataan itu lagi turut memaklumkan bahawa melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia turut bekerjasama dengan 89 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 13,431 jawatan untuk manfaat Keluarga Malaysia.
"Daripada jumlah itu, seramai 2,771 orang dipanggil menghadiri temu duga dengan 1,476 orang berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon dan 454 orang berjaya ditawarkan pekerjaan.
"Jualan Keluarga Malaysia turut diadakan dengan tawaran potongan harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi barangan keperluan harian selain program seperti Zikir Berkah Terengganu Berselawat, pertandingan e-sukan (e-sports), sukan rakyat, Pertandingan Bintang Patriotik dan banyak lagi," katanya.
JAKM yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021.
Terengganu menjadi lokasi keempat bagi siri JAKM selepas Johor, Perlis dan Sabah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi kementerian peneraju bagi siri JAKM kali ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU).
Siri JAKM akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. - DagangNews.com