Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bukti kecaknaan kerajaan terhadap usahawan | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bukti kecaknaan kerajaan terhadap usahawan

Pengunjung Jelajah AKM bertanyakan mengenai produk makanan tradisional di reruai Maimunah. - Gambar DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 3 Jun - Usianya sudah menjangkau 68 tahun, namun kelibatnya sentiasa dilihat di mana-mana penganjuran karnival, ekspo, pameran dan terkini beliau berada di program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keempat, Terengganu.

 

Maimunah Yusof, bukan calang-calang usahawan kerana beliau adalah 'duta kecil' untuk mempromosikan makanan dan kuih tradisional Terengganu di persada antarabangsa.

 

Pengarah Urusan Sisme Food Industries itu berkata beliau sangat terhutang budi dengan bantuan yang disalurkan kerajaan selama 37 tahun menjalankan perniagaan itu.

 

"Tanpa bimbingan dan bantuan kewangan dari pelbagai agensi kerajaan, tidak mungkin saya berada sampai tahap ini.

 

"Tak terkira banyaknya bantuan yang diberi, malah kami turut dibawa 'terbang' ke Singapura, Thailand dan Vietnam untuk membawa produk ini ke tiga negara itu," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Antara produk jualan keluaran syarikat milik Maimunah ialah buah rotan, kerepek pisang, kuih bunga ros, kuih siput, rempeyek, tahu itik dan jala emas.

 

Warga emas itu berkata antara agensi yang banyak membantunya ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu.

 

 

maimunah
                                        Maimunah Yusof

 

 

Selain kursus keusahawanan, Maimunah yang mesra disapa sebagai Ma (ibu) berkata setiap kali buntu berdepan masalah, pasti pegawai dan kakitangan agensi membantunya dengan cadangan penyelesaian yang ideal. 

 

"Selain bantuan modal perniagaan, saya juga ada terima geran untuk pembelian beberapa jenis mesin dan chiller yang harganya berpuluh ribu ringgit.

 

"Paling teruja setiap kali penganjuran ekspo, karnival atau pameran pasti kami juga akan dibawa menyertainya dan secara tidak langsung dapat meningkatkan jualan produk," katanya.

 

 

mai

 

maimunah
Antara produk keluaran syarikat Maimunah di Jelajah AKM, Terengganu

 

 

Ditanya sasaran jualan sepanjang Jelajah AKM kali ini pula, Maimunah berkata beliau berharap dapat mencapai jualan sebanyak RM7,000 sehingga program itu berakhir esok.

 

"Selain menjual, niat saya ingin berkongsi dan memperkenalkan keistimewaan makanan tradisional Terengganu kepada pengunjung terutama generasi muda kerana ramai antara mereka tidak begitu mengenali warisan makanan generasi terdahulu.

 

"Ini juga sumbangan kecil saya untuk mengharumkan nama negeri dari segi warisan, ekonomi dan pelancongan agar lebih ramai datang ke Terengganu selepas ini," katanya yang dibantu anak-anak dan menantu menjalankan perniagaan itu. - DagangNews.com