Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia cetus inspirasi kepada golongan belia ceburi perniagaan | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia cetus inspirasi kepada golongan belia ceburi perniagaan

Aini Eliani membuat demonstrasi membersihkan kasut pelanggan di program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Terengganu 2 Jun 2022. - Gambar DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 2 Jun - Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi keempat di Terengganu berjaya menyuntik inspirasi kepada pengunjung, terutama golongan belia untuk menceburi bidang perniagaan.

 

Ini kerana terdapat 110 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sedia berkongsi kisah kejayaan, jatuh bangun mereka dalam memajukan perniagaan bersama pengunjung di reruai masing-masing. 

 

Seorang pengunjung, Iliya Ismail, 25 berkata beliau teruja melihat kepelbagaian produk yang dikeluarkan oleh usahawan IKS Terengganu kerana ada yang sangat berjaya hingga ke tahap memasarkan produk ke luar negara.

 

"Usahawan pun tak lokek berkongsi ilmu dan petua bagaimana mereka bermula dari kosong hingga berjaya dalam perniagaan. Kebanyakan mereka juga turut memberi galakan kepada kami belajar berniaga dan sanggup meluangkan masa melayan apa sahaja pertanyaan yang dilontarkan.

 

"Paling teruja bila pergi ke reruai yang menjual makanan dan minuman tradisional kerana usahawan banyak buat inovasi untuk memastikan produk mereka lebih tahan lama, lebih enak dan sesuai dipasarkan ke seluruh dunia melalui kaedah 'retort'. 

 

"Saya dan kawan ada juga ambil nombor telefon usahawan dan syarikat mereka...manalah tahu selepas ini berminat untuk mengikuti jejak langkah mereka menjadi usahawan, boleh jadikan mereka sebagai idola atau mentor," katanya kepada DagangNews.com.

 

 

Iliya Ismail
                          Iliya Ismail

 

 

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Nawfal Omar, 19, berkata beliau sangat bermotivasi apabila mendengar sendiri pengalaman usahawan belia iaitu pemilik Shoelab Services kerana menjalankan perniagaan yang unik dan masih baharu diperkenalkan di Terengganu.

 

"Usahawan itu, Aini Eliani Khalid, 28, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah namun nekad menjalankan perniagaan sendiri iaitu membersihkan beg tangan, kasut dan topi. 

 

"Peluang mendapat pekerjaan dengan gaji tinggi agak terhad apatah lagi dalam sektor perkhidmatan awam. Jadi, sudah tiba masanya untuk golongan belia menjadi usahawan dan mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain pula," katanya. 

 

 

Muhammad Nawfal Omar
             Muhammad Nawfal Omar

 

 

Sementara itu, Aini Eliani berkata beliau menyediakan perkhidmatan untuk mencuci semua jenis material kasut dan beg tangan seperti kanvas, kulit, baldu, nilon atau PVC yang lusuh dan membersihkannya semula sehingga pelanggan berpuas hati.

 

"Perkhidmatan seumpama ini tidak begitu terkenal lagi di Terengganu. Tak hairanlah ramai pengunjung yang berminat singgah di reruai ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut lagi.

 

 

Aini Eliani
                            Aini Eliani

 

 

"Antara soalan yang diterima dari pengunjung ialah kadar harga, adakah perniagaan ini berbaloi dan seterusnya mereka berminat untuk menggunakan perkhidmatan saya setelah mendengar kepentingan membersihkan beg tangan dan kasut secara berkala," katanya memulakan perniagaan itu sejak Februari 2019.

 

 

km

 

akm
Antara peralatan yang digunakan Aini Eliani untuk membersihkan beg tangan, kasut dan topi milik pelanggan.

 

 

Beliau yang juga usahawan bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan SME Corporation Malaysia berharap dapat memperkenalkan perkhidmatannya dengan lebih meluas sepanjang JAKM berlangsung hingga Sabtu ini. - DagangNews.com