Jenama coklat tempatan terkenal Malaysia, Crispy Chocolate rai ulang tahun ke-50 | DagangNews Skip to main content

Jenama coklat tempatan terkenal Malaysia, Crispy Chocolate rai ulang tahun ke-50

Network Foods Industries Group melancarkan jerayawara kebangsaan bagi meraikan ulang tahun ke-50 Crispy Chocolate yang bermula di negeri pantai timur dan Lembah Klang.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Crispy Chocolate, snek coklat terkenal di Malaysia yang dipasarkan ke 21 negara kini meraikan ulang tahunnya yang ke-50.  

 

Bagi meraikan pencapaian bersejarah ini, Network Foods Industries Group melancarkan jerayawara kebangsaan yang bermula di negeri pantai timur dan Lembah Klang.

 

Network Foods Group merupakan ahli Pan Malaysia Corporation Berhad (PMC). Ditubuhkan pada 1973, Crispy Chocolate ternyata mampu bertahan sekian lama. 

 

 

Crispy Chocolate

 

 

 

Gigitan rangup coklatnya menjadi sebahagian daripada kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh beberapa generasi rakyat Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif PMC, Andrew Khoo berkata bagi jenama coklat tempatan meraikan pencapaian penting ini sememangnya suatu detik yang sangat membanggakan.

 

“Ia membuktikan nilai jenama Crispy Chocolate yang terus bertahan dalam bidang yang penuh dengan persaingan dikuasai oleh jenama antarabangsa terkenal,” katanya.

 

 

jerayawara

 

 

Khoo menyatakan bahawa di peringkat antarabangsa, kurang daripada 10 jenama coklat mempunyai sejarah selama 50 tahun atau lebih lama.

 

“Kejayaan Crispy Chocolate terletak pada rasa malt unik yang diperbuat daripada malt terbaik, koko berkualiti berserta bijirin beras yang dipanggang, menjadikannya bukan sekadar snek lazat tetapi juga menyihatkan,” tambahnya.

 

Network Foods menegaskan bahawa Crispy Chocolate dikategorikan sebagai snek kesihatan yang mengandungi kadar gula rendah dan serat diet. 

 

Sebagai bukti kepada kualitinya yang menyihatkan, Crispy Chocolate telah diiktiraf sebagai Snek Kanak-kanak Terbaik menerusi Anugerah Pilihan Pembaca Natural Health 2022 dan anugerah khas Industri Koko daripada Lembaga Koko Malaysia.

 

 

jerayawara

 

 

Ia juga diperakui oleh Lembaga Promosi Kesihatan Singapura, di samping memperoleh pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Ulama Indonesia (MUI HALAL).

 

Memanfaatkan popularitinya, jenama itu baru-baru ini telah melancarkan produk sapuan Crispy untuk roti dan bebola malt Crispy Popz untuk dinikmati sebagai sajian snek ringan.

 

Syarikat berkenaan juga menghasilkan rangkaian Edisi Crispy Istimewa yang menggabungkan perasa unik dan menarik cetusan inspirasi dari Malaysia, Korea dan Jepun dan sedang mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak produk.

 

Maklumat lanjut mengenai produk dan Crispy Chocolate boleh dilayari di laman web baharunya, crispychocolates.com, atau ikuti saluran media sosialnya di Facebook dan Instagram - DagangNews.com