KUALA LUMPUR 8 Nov - MIDF Research meramalkan permintaan hartanah perindustrian terus meningkat dipacu kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Katanya, permintaan lebih tinggi untuk hartanah perindustrian itu menyebabkan pendedahan yang lebih tinggi kepada pemaju hartanah industri SP Setia, Eco World Development dan Mah Sing.
Menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah urus niaga hartanah perindustrian melonjak kepada 3,830 unit dalam separuh pertama 2022 daripada 2,562 unit pada separuh pertama 2021.
Selepas itu, jumlah urus niaga stabil pada paras melebihi 3,700 unit dalam separuh pertama 2023 dan 2024.
"Nilai urus niaga perindustrian meningkat kepada RM13.5 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM10.94 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, walaupun terdapat peningkatan kecil dalam jumlah yang mungkin disebabkan oleh kenaikan harga hartanah perindustrian serta penjualan hartanah perindustrian bersaiz lebih besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kejayaan Donald Trump dipilih semula sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) menyaksikan Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada peningkatan perang perdagangan AS-China.
Katanya, Malaysia merupakan antara destinasi untuk menempatkan semula operasi syarikat China sebagai sebahagian daripada strategi China Plus One.
"Keadaan itu akan menyokong permintaan untuk hartanah perindustrian di Malaysia dan memberi manfaat kepada syarikat hartanah dengan pendedahan kepada hartanah perindustrian.
"Walaupun data permohonan pinjaman yang lebih rendah pada September 2024, kami melihat keseluruhan jumlah permohonan pinjaman yang lebih tinggi dan pinjaman yang diluluskan pada sembilan bulan 2024 adalah positif kepada sektor hartanah.
"Ia menunjukkan permintaan untuk hartanah lebih kukuh dan prospek jualan baharu untuk pemaju adalah lebih baik," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'positif' untuk ektor hartanah.
Pilihan utama untuk sektor ialah Mah Sing (beli, TP: RM2.03) dan Matrix Concepts (beli, TP: RM2.22).
"Kami kekal positif terhadap Mah Sing kerana ia secara agresif mengembangkan produk-produk M-Series melalui perbankan tanah kerana permintaan untuk projek kediaman mampu milik adalah berdaya tahan," katanya.- DagangNews.com