Jenama UOB diberi nafas baharu bagi perkukuh strategi ASEAN dan komitmen jangka panjang | DagangNews Skip to main content

Jenama UOB diberi nafas baharu bagi perkukuh strategi ASEAN dan komitmen jangka panjang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Jenama UOB diberikan nafas baharu dalam usahanya memperkukuhkan strategi ASEAN dan komitmen jangka masa panjang kepada rantau ini.

 

Jenama yang dikenali sebagai Matlamat Membina Masa Depan ASEAN itu bukan sekadar usaha penjenamaan semula atau kempen pemasaran, namun menandakan matlamat strategik UOB mempergiatkan tumpuan dan pelaburan di rantau ini untuk membangun dan membantu merealisasikan potensi warga ASEAN. 

 

Ia juga mengukuhkan komitmen UOB untuk mempermudah aliran ekonomi dalam dan antara negara ASEAN dalam usaha menyokong perniagaan merentas generasi.

 

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, pihaknya sentiasa percaya potensi ASEAN, dengan demografinya yang menggalakkan dan juga asas berdaya tahan. 

 

"Memandangkan pertumbuhan ASEAN telah dinyalakan semula selepas pandemik, langkah kami untuk memperkenalkan matlamat lebih khusus dan penyegaran semula jenama kami adalah tepat pada masanya.

 

"Hari ini, jejak kami di ASEAN adalah paling luas di kalangan bank-bank Singapura. Ke arah sambutan tahun ke-100 kami pada 2035, kami berhasrat menjadi bank pilihan bagi pengguna dan perniagaan di seluruh pasaran utama kami. Bank serantau yang benar-benar membantu pelanggan kami mencapai aspirasi mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebagai komponen utama nafas baharu jenama, kenyataan matlamat menggariskan janji UOB untuk melakukan perkara yang betul demi pemegang berkepentingannya, termasuk pelanggan, rakan sekerja dan komuniti. Ke arah pelaksanaan matlamatnya, bank akan memperkukuh tiga bidang strategik, Kesalinghubungan, Pemperibadian dan Kemampanan.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei pula berkata, penjenamaan semula jenama dan matlamat lebih khusus, untuk membina masa depan ASEAN, mengesahkan komitmen kami kepada negara. 

 

"Akar umbi mendalam dan warisan kukuh kami di Malaysia telah membolehkan kami menyokong pertumbuhan negara selama lebih tujuh dekad. 

 

"Penyegaran semula jenama ini mencerminkan transformasi progresif kami, and adalah tepat pada masanya ketika kami menyambut ulang tahun UOB Malaysia yang ke-71 dan terus melabur dalam pengukuhan jejak kami di negara ini melalui pengambilalihan perniagaan pengguna Citi. Pengambilalihan tersebut disasarkan selesai dalam suku keempat tahun ini," katanya. - DagangNews.com