Jenayah siber catat peningkatan 44.3% kepada 577 kes pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jenayah siber catat peningkatan 44.3% kepada 577 kes pada 2022 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - Jenayah siber meningkat sebanyak 44.3% kepada 577 kes daripada 400 kes pada 2022, manakala jenayah indeks dan jenayah komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3% kepada 50,813 kes dan 30,536 kes dalam tempoh sama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. 

 

"Kedua-dua jenayah ini masing-masing menunjukkan penurunan 10% peratus dan 2.4% kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022," katanya dalam kenyataan Statistik Jenayah Malaysia 2023 di sini, hari ini.

 

Kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.

 

Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2%) diikuti pecah amanah (911 kes; 3%) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7%).

 

Sementara itu, bagi kes berkaitan dadah meliputi membekal dadah, memiliki dadah dan positif ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6% kepada 141,289 kes pada 2022.

 

Kesalahan membekal meningkat sebanyak 18%, memiliki dadah meningkat sebanyak 35.1% dan positif ujian urin meningkat 31.2% berbanding 2021.

 

 

DOSM

 

 

Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3% kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan PDRM.

 

Bagi kes berkaitan rasuah, bilangan kertas siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan 1% kepada 820 kes (2022) daripada 828 kes (2021). 

 

Kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan pada 2022 merekodkan penurunan kecuali kesalahan tuntutan palsu dan memberi rasuah masing-masing meningkat 41.1% dan 17.9%. 

 

Bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 6.8% pada 2022 dengan 909 tangkapan berbanding 851 tangkapan (2021). Bilangan tangkapan bagi kesalahan tuntutan palsu pada 2022 meningkat sebanyak 66.9%. 

 

Manakala, tangkapan bagi memberi rasuah, menerima rasuah dan salah guna kedudukan mencatatkan penurunan dalam tempoh yang sama.

 

Bilangan kes jenayah seksual meningkat 2.9% pada 2022 dengan 3,303 kes berbanding 3,209 kes pada 2021. 

 

Bagaimanapun, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4%, 5.7% dan 0.5%. Kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada 2022 iaitu 9.6%. - DagangNews.com