Jentera kental Isuzu D-Max bakal takluk acara Borneo Safari di Sabah | DagangNews Skip to main content

Jentera kental Isuzu D-Max bakal takluk acara Borneo Safari di Sabah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Sejumlah dua unit trak Isuzu D-Max 1.9 Liter Single Cab akan menyertai acara Borneo Safari tahun ini, termasuk D-Max X-Terrain sebagai kenderaan rasmi media bagi acara tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe, versi Single Cab dipilih untuk menggalas peranan sokongan dalam acara ini kerana kebolehannya sebagai jentera yang kental dan serba boleh.

 

"Untuk menakluki acara seperti Borneo Safari yang menghamparkan laluan sukar dalam hutan, ia tidak hanya memerlukan kenderaan dengan sistem 4x4 yang mantap, tetapi juga perlu dihadirkan dengan kemampuan yang sangat tinggi untuk memastikan ia berhasil melepasi cabaran lapan hari dalam keadaan yang ekstrim seperti itu. 

 

"Dengan warisan panjang Isuzu D-Max sebagai sebuah trak pikap, ia tidak disangkal lagi menjadi salah kenderaan media yang paling boleh diharap sepanjang edisi terdahulu acara ini, dan berhasil membawa media dan peralatan mereka menempuhi pelbagai situasi dan keadaan setiap tahun sejak sedekad lalu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, sebagai Penaja Berlian bagi acara ini buat sekian kalinya, Okazoe menyerahkan dokumen penajaan dan kunci bagi kenderaan rasmi media berkenaan kepada Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin.

 

Borneo Safari tahun ini memasuki penganjurannya bagi tahun ke-31 dan diiktiraf sebagai satu daripada cabaran 'off-road' paling sukar di dunia. 

 

Acara ini bakal dilancarkan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah pada 29 Oktober ini dan akan menjelajah kawasan pergunungan Sook dan Ranau sebelum kembali ke Kota Kinabalu selepas seminggu.

 

 

isuzu

 

 

isuzu

 

 

Isuzu Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta Red Springs Sdn Bhd untuk menerbitkan siri video web yang mempromosikan acara ini khususnya, dan Sabah secara umumnya sebagai destinasi pengembaraan.

 

 

isuzu

 

 

Melalui siri video berkenaan, penonton dapat menyaksikan pelbagai cabaran dilalui di sepanjang berlangsungnya Borneo Safari serta berpeluang memenangi cenderahati eksklusif dengan menyertai peraduan 'tonton dan menang' yang akan berlangsung selepas acara berkenaan selesai. - DagangNews.com