Jerat pendapatan sederhana: Mampukah Malaysia MADANI capai status Negara Maju? | DagangNews Skip to main content

Jerat pendapatan sederhana: Mampukah Malaysia MADANI capai status Negara Maju?

Oleh MOHD AZLAN ABD. MAJID

MALAYSIA telah mencapai status negara pendapatan sederhana sejak tahun 1992. Kini, tahun 2023 pun telah di pertengahan. Di manakah kita?

 

Untuk berbicara kes ini, kita perlu memahami konsep negara maju dan negara membangun.

 

Mengikut Bank Dunia, pada tahun 2023, negara maju diklasifikasikan sebagai negara yang mencapai pendapatan tahunan purata seorang sebanyak lebih AS$13,205 yakni lebih RM61,000.

 

Manakala pendapatan menengah atas adalah lingkungan AS$4,256- AS$13,205 (RM19,600 – RM61,000). Menengah bawah pula adalah AS$1,086- AS$4,255 (RM5,000-RM19,000). Di manakah kita?

 

Mengikut statistik terkini daripada badan Bank Dunia, Malaysia mencapai purata KDNK seorang sebanyak AS$10,600 seorang iaitu RM48,972 setahun.


 

tnb

 


Jika dilihat negara jiran kita iaitu Singapura berada pada AS$54,900 iaitu RM253,638  setahun. Mudahnya pendapatan purata seorang sebulan di Malaysia ada RM4,081 tetapi di Singapura adalah RM21,136.50 yakni 5.17 kali ganda. Kenapakah ini berlaku?

 

  1. Ketidakseimbangan ekonomi

Jika dilihat Malaysia berjaya membangunkan industri seperti pertanian seperti kelapa sawit, sektor pembuatan seperti semikonduktor dan petroliam serta sektor perkhidmatan seperti kewangan dan pelancongan.

 

Tetapi sektor pertanian sekadar mewakili 6.4% ekonomi manakala sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan sekitar 37.1% dan perkhidmatan adalah 58.1% pada suku kedua 2022.

 

Pertumbuhan pula sekitar 6% untuk sektor pertanian, 24% untuk industri dan 58.6% untuk perkhidmatan.

 

Jelaslah di sini, Malaysia perlu menyeimbangkan struktur dan mempelbagaikan ekonomi dengan mengadakan sistem, polisi dan ekosistem yang menggalakkan pelaburan tinggi seperti meneroka teknologi baru, teknologi kreatif dan sebagainya.

 

  1. Permasalahan institusi dan rantaian bekalan

Isu seperti rasuah, birokrasi, penguatkuasaan yang lemah, pertindihan bidang kuasa merencatkan kecekapan kerajaan dalam melaksanakan polisi negara.

 

Baru-baru ini Perdana Menteri kita telah melancarkan falsafah Malaysia Madani. Salah satu terasnya adalah memerangi kebocoran seperti rasuah dan sebagainya.

 

Ini adalah langkah murni dan boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi untuk mencapai status negara maju.

 

tnb


 

  1. Ketiga, adalah sistem inovasi nasional

Seperti yang kita maklum, dasar negara kita masih tidak berjaya untuk mencapai negara maju. Kita lihat beberapa negara yang  maju tang lain seperti Singapura, Jepun yang mencapai negara maju.

 

Kenapa mereka boleh sedangkan kita masih terperangkap dengan perangkap negara pertengahan lagi. Jawapannya adalah mudah. Sistem Inovasi.

 

Seperti yang maklum, kita punyai banyak perancangan. Tetapi untuk mencapai negara maju, kuncinya adalah ekonomi yang berasaskan pengetahuan.

 

Dalam ekonomi, terdapat empat sumber paling utama iaitu Tanah, Usahawan, Buruh dan Model. Dalam sistem ekonomi moden sekarang sumber yang paling penting adalah Buruh. Buruh iaitu bahasa modennya adalah Sumber Manusia adalah resipi yang terbaik untuk mencapai negara maju.

 

Tetapi ia tidak cukup kerana ia memerlukan polisi negara yang kuat, komprehensif dan punyai wawasan yang utuh mencapai negara maju.

 

Tambahan juga sistem inovasi nasional ini juga memerlukan sokongan daripada sektor universiti yang mengeluarkan graduan berkualiti mengikut tujahan dan polisi kerajaan.

 

Manakala industri dan syarikat swasta akan menjadi faktor penerima di mana perlaksanaan sistem ini terletak pada sektor ini.


 

volatiliti

 

 

Ketiga-tiga masalah ini juga berlaku di negara yang lain seperti kebanyakan negara pertengahan yang lain di dunia seperti di Argentina, Turkiye, Mexico dan sebagainya. Tetapi kes di Malaysia ia menjangkau 31 tahun.

 

Kesimpulannya, Malaysia akan menjadi negara maju jika mencapai tiga kunci ini. Halangan terbesar kita adalah sistem inovasi nasional dan polisi negara yang matang dan komprehensif.

 

Mentaliti 

Dan halangan terbesar kita adalah mentaliti.

 

Usaha pihak kerajaan terutama berkaitan dengan Malaysia MADANI dilihat besar dan gah. Tetapi kita, jika di media sosial banyak ciapan menyamakan Madani dengan Permaidani.

 

Memang lucu, tetapi kita berduka melihat kejadian ini. Inikah generasi yang ingin menjadikan negara kita maju?

 

Diharap Malaysia akan menjadi negara maju daripada sudut material dan juga bukan material menjelang tahun 2030 dengan anjakan sistem, dasar dan mentaliti. – DagangNews.com

 

 
Mohd Azlan Abd. Majid adalah Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.