JF Tech jalin bekerjasama dengan Huawei di China | DagangNews Skip to main content

JF Tech jalin bekerjasama dengan Huawei di China

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - JF International Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh JF Technology Bhd. menjalin kerjasama dengan cabang modal teroka Huawei Investment & Holding Co. Ltd. menerusi langganan saham dalam JFH Technology Sdn. Bhd. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, JFH Technology adalah anak syarikat milik penuh JF International, yang secara dasarnya terlibat dalam pengeluaran sokongan teknikal bagi penghubung penyelesaian ujian litar bersepadu. 

Menurut JF Technology, Hubble Technology Investment Co Ltd (HTI) akan menyuntik sebanyak AS$1.5 juta dalam JFH Technology, yang akan memperkukuhkan hubungan kumpulan itu dengan firma China sebagai pelanggan dan rakan strategik utama termasuk memperoleh akses pasaran ke negara tersebut. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak AS$410,000 pula akan dikreditkan untuk meningkatkan modal berdaftar JFH manakala selebihnya AS$1.09 juta akan dikreditkan untuk rizab modal," katanya. 

Selepas selesai langkah berkenaan, modal berdaftar JFH Technology akan meningkat daripada AS$500,000 kepada AS$910,000. 

JF International akan memiliki pegangan 55% berdasarkan sumbangan modal sebanyak AS$500,000 dalam JFH manakala HTI pula memiliki 45% kepentingan. 

Jelas JF Technology, kerjasama tersebut membolehkan syarikat membina sinergi perniagaan bagi tempoh jangka panjang dengan HTI. 

"JFH Technology akan mengeluarkan dan membekalkan ujian penghubung berprestasi tinggi kepada HTI dan juga pelanggan lain di China," katanya. - DagangNews.com