JHM Consolidation dijangka tangguh rancangan pembesaran kilang di Batu Kawan | DagangNews Skip to main content

JHM Consolidation dijangka tangguh rancangan pembesaran kilang di Batu Kawan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - JHM Consolidation Berhad dijangka tangguh rancangan pembesaran kemudahan kilang pembuatan di Batu Kawan, Pulau Pinang kerana dilihat menjejaskan prospek perkembangan pada masa hadapan. 

 

Kenanga Research berkata, keputusan itu adalah disebabkan pelanggan di Amerika Syarikat (AS) menangguhkan rancangan untuk mempelbagaikan pengeluarannya ke Malaysia keranan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi yang tidak stabil.

 

Katanya, kumpulan itu memutuskan untuk menagguhkan cadangan pembesaran kilang di atas tanah seluas 3.6 hektar yang telah dibeli dengan harga RM21 juta pada Mei 2021.

 

"Memandangkan penempatan persendirian awal yang diluluskan sehingga 10% daripada saham terbitan (diumumkan pada 15 Disember 2021) tidak berlaku walaupun selepas beberapa kali penangguhan.

 

"Dengan harga indikatif RM0.82 menjadikan hasil kasar kepada RM45.7 juta, kumpulan itu akan merombak strateginya dan menggunakan semula sumbernya untuk mengukuhkan perniagaan automotif dan industri sedia ada.

 

"Kami menjangkakan langkah itu akan memberi kesan negatif kepada prospek kumpulan dalam jangka masa terdekat kerana pertumbuhannya bergantung kepada perkembangannya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu menyukai JHM untuk jangka masa panjang keranan pendedahan mereka kepada industri LED automotif yang semakin berkembang selain mereka juga merupakan proksi kepada peningkatan permintaan bagi alatan ujian 5G selain memiliki margin keuntungan besar bagi kerjasama dalam perniagaan pengedap kaca hermetik.

 

Bagaimanapun, prospek jangka masa terdekat kekal tidak memberangsangkan berikutan penangguhan rancangan pembesarannya di Batu Kawan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran 90 sen," katanya. - DagangNews.com