Johor Plantations, Fuji Oil jalin usaha sama bangunkan kilang penapis minyak sawit | DagangNews Skip to main content

Johor Plantations, Fuji Oil jalin usaha sama bangunkan kilang penapis minyak sawit

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Johor Plantations Group Berhad (JPG) mengumumkan usaha sama dengan Fuji Oil Asia Pte Ltd (Fuji Oil) membangunkan sebuah kilang penapisan minyak dan lemak khusus yang beroperasi menggunakan tenaga boleh diperbaharui. 

 

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, kerjasama itu dicapai menerusi majlis memeterai perjanjian usaha sama di Osaka, Jepun, menandakan pencapaian penting dalam pengeluaran minyak sawit di Malaysia. 

 

Katanya, gabungan strategik itu menyatukan kepakaran dan komitmen dua buah syarikat peneraju industri, sejajar dengan dedikasi kedua-dua buah syarikat terhadap tanggungjawab alam sekitar dan inovasi.

 

"Kerjasama kami dengan Fuji Oil, peneraju dunia dalam pengeluaran bahan makanan, selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi pengusaha minyak sawit bersepadu. 

 

"Ini dapat dicapai melalui kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menghasilkan bahan keperluan secara mampan dan bertanggungjawab untuk manusia sejagat. 

 

"Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kami untuk menangani keperluan sosioekonomi negara melalui usaha perniagaan yang inovatif serta memastikan integriti dan kebolehkesanan produk kekal sebagai dasar dalam perniagaan kami," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Fuji Oil Asia, Kunihiko Ogata pula berkata, minyak sawit merupakan bahan mentah utama mereka dan menganggap sumber minyak sawit mampan adalah sebagai tanggungjawab sosial. 

 

 

jpg
Mohd Faris Adli Shukery (kiri, hadapan) dan Kunihiko Ogata bertukar dokumen pada majlis menandatangani perjanjian di Osaka, Jepun, baru-baru ini. 

 

 

"Fuji Oil Asia dan Fuji Oil Group akan terlibat secara aktif dalam pembekalan minyak sawit yang boleh dikesan dan mampan ini bagi menyumbang kepada masyarakat dalam usaha untuk menangani cabaran makanan dan kesihatan dunia," katanya.

 

Usaha sama ini bertujuan untuk mewujudkan piawaian baharu untuk ketelusan, inovasi dan kualiti dalam industri minyak sawit dengan memanfaatkan pengalaman luas JPG dalam penanaman sawit mampan dan teknologi pemprosesan termaju yang dimiliki oleh Fuji Oil. 

 

Kerjasama ini juga membolehkan JPG memanfaatkan pengalaman luas Fuji Oil di dalam bidang pemasaran, jualan, keupayaan teknikal dan hubungan pelanggan dengan syarikat-syarikat multinasional lain yang terkemuka dalam sektor konfeksi dan makanan berbungkus.

 

 

jpg

 

 

Melalui penubuhan kilang penapisan khusus ini, JPG akan menjadi pengeluar bagi derivatif dan produk khusus minyak sawit yang bernilai tinggi dan berkualiti untuk meningkatkan daya saing pasaran bagi JPG dan Fuji Oil. 

 

Aliran pendapatan tambahan merentasi keseluruhan rantaian nilai JPG juga akan membantu mengurangkan potensi risiko, meningkatkan daya tahan dalam persekitaran pasaran yang dinamik dan membolehkan margin yang lebih tinggi untuk produk minyak sawit syarikat. - DagangNews.com