Johor Port lancar program Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan bersama UTMSPACE | DagangNews Skip to main content

Johor Port lancar program Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan bersama UTMSPACE

KUALA LUMPUR 13 Julai – Johor Port Bhd. (Johor Port) melancarkan program Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan bersama UTMSPACE, yang merupakan program pengajian perintis pertama diperkenalkan di Malaysia.

 

Program itu direka untuk meningkatkan asas dan pengetahuan operasi profesional pelabuhan bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, program itu membolehkan kumpulan berkongsi pengalaman dan kepakaran selama 45 tahun berada dalam industri pelabuhan dan logistik melalui kerjasama dengan UTMSPACE.

 

Katanya, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan keupayaan profesional dalam kalangan pekerja pelabuhan tempatan dan antarabangsa.

 

“Kerjasama ini juga merupakan suatu anjakan paradigma dalam memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri pelabuhan dan logistik yang penting dalam pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

johor port
Program Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan, kerjasama Johor Port bersama UTMSPACE dilancarkan hari ini.

 

 

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Urusan UTMSPACE, Prof. Ts. Dr. Nazri Ali. Turut hadir, Pengarah Pembelajaran Sepanjang Hayat UTMSPACE, Sr. Ts. Dr Zakaria Mohd Yusof; Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Johor Port, K C Low dan Ketua Sumber Manusia Johor Port, Hermee Tahir.

 

Seramai 21 pelajar yang juga kumpulan pertama mendapat surat tawaran bagi program pengajian Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan turut menghadiri majlis tersebut.

 

Kerjasama itu juga merupakan satu pencapaian bagi UTMSPACE dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti berpengetahuan melalui kerjasama dengan Johor Port Berhad dalam pelaksanaan program pengajian Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan pertama di dunia.

 

Modul kursus kontemporari yang dibangunkan oleh JP Skills Centre (JPSC), jabatan yang bertanggungjawab menjalankan dan memberikan latihan di Johor Port, meliputi lebih daripada 20 bidang pengetahuan pengajian dan kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan pelabuhan moden dengan cekap sebagai penghubung utama bagi pengeluaran global dan rantaian bekalan.

 

Ditubuhkan sejak 2014, JPSC menyediakan pelbagai latihan kepada pelabuhan tempatan utama dan pelabuhan serantau seperti Pelabuhan Sabah, PELINDO III, PELINDO IV dan Pelabuhan Vietnam. 

 

JPSC juga diiktiraf oleh United Nations Conference for Trade & Development (UNCTAD) sebagai penyedia latihan bertauliah bagi Program 'UNCTAD Train For Trade Modern Port Management'. - DagangNews.com