Johor Port rancang tambah rangkaian perhubungan baharu Batam, Pasir Gudang | DagangNews Skip to main content

Johor Port rancang tambah rangkaian perhubungan baharu Batam, Pasir Gudang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Johor Port Bhd merancang menambah rangkaian ke Asia Selatan dan Timur Tengah melalui Johor Port Terminal dengan 'Operator Feeder' seperti Sea Navigator, MTT, Latitude dan LKC yang menyediakan dua pelayaran dalam seminggu antara Batam dan Pasir Gudang. 

 

Johor Port berkata, lebih banyak pelayaran mingguan akan ditambah apabila jumlah kendalian kargo meningkat dan Operator Feeder akan menawarkan pengangkutan yang lebih kompetitif berbanding dengan memindahkan kargo melalui hab lain untuk transhipment.

 

Katanya, sebagai sebahagian daripada inisiatif 'Creating Pathways to the Indonesian Outport Business', Johor Port memastikan kemudahan tersedia untuk mengendalikan kedua-dua kontena pemindahan kapal masuk dan keluar dari Batam. 

 

"Operator perkapalan utama yang kini menggunakan Pasir Gudang juga menawarkan rangkaian dan liputan yang sangat baik untuk rantau Intra Asia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Johor Port bersama-sama Konsortium Feeder termasuk Sea Navigator, MTT, Latitude dan LKC menganjurkan pameran berkenaan Creating Pathways to the Indonesian Outport Business di Singapura, baru-baru ini.

 

Pameran tersebut adalah salah satu daripada inisiatif strategik Johor Port untuk membangunkan dan menjamin jumlah kendalian kontena melangkaui sempadan biasa pelabuhan dengan memanfaatkan pasaran luar Indonesia. 

 

Ia bertujuan meletakkan asas bagi Operator Feeder yang berpotensi mewujudkan langkah pertama bagi kesinambungan untuk memindahkan Kargo Intra Asia dari Batam Hinterland ke Pasir Gudang.

 

 

johor port

 

 

Johor Port ialah pelabuhan serbaguna bersepadu terletak di bahagian timur Johor yang menyediakan rangkaian perkhidmatan pelabuhan komprehensif untuk memenuhi keperluan individu bagi semua pengguna pelabuhan. 

 

Pelabuhan itu mengendalikan lima terminal dengan 24 dermaga sepanjang 4.9 kilometer yang menyediakan perkhidmatan untuk kontena, pukal kering, pukal pecah dan cecair dan diiktiraf sebagai 'Southern Gateway Multipurpose Port' di rantau ini. - DagangNews.com