JTKSM bakal dakwa syarikat langgar akta perumahan pekerja termasuk Top Glove | DagangNews Skip to main content

JTKSM bakal dakwa syarikat langgar akta perumahan pekerja termasuk Top Glove

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Beberapa buah syarikat termasuk pengeluar sarung tangan terbesar dunia iaitu Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) bakal didakwa setelah didapati melanggar akta perumahan pekerja mereka. 

 

Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang memberitahu syarikat-syarikat berkenaan bakal berdepan 63 pertuduhan. 

 

Mereka didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). 

 

“JTKSM akan melaksanakan pendakwaan di mahkamah,” kata Ketua Pengarah agensi itu, Asri Ab. Rahman dalam sebuah sidang akhbar.

 

Asri Ab Rahman
Asri Ab. Rahman

 

Syarikat-syarikat berkenaan juga berdepan tindakan denda dan kompaun sekiranya didapati ingkar peruntukan akta berkenaan. 

 

DagangNews.com yang memetik kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sebelum ini melaporkan, majikan akan didenda RM50,000 bagi setiap kesalahan sekiranya gagal mematuhi Akta 446 bermula 1 September lalu.

 

Baca : Majikan didenda RM50k jika gagal patuhi standard penginapan pekerja

 

Akta itu memperuntukkan majikan di semua sektor untuk menyediakan kemudahan penginapan dan perumahan kepada pekerja.

 

Penguatkuasaan akta berkenaan bertujuan memastikan setiap majikan mematuhi peruntukan undang-undang tersebut. 

 

Asri mendedahkan, terdapat 21 kertas siasatan dibuka sejak akta berkenaan dikuatkuasa hingga ke hari ini, di mana melibatkan pelbagai subsektor industri.

 

Pekerja-pekerja Top Glove antara yang menyumbang kepada kes COVID-19 tertinggi di bawah kluster Teratai sehingga mencatatkan empat digit kes positif harian. 

 

Kluster itu mula diisytiharkan pada 7 November lalu dan menunjukkan peningkatan kes mendadak, di mana melibatkan pekerja-pekerja kilang di Meru, Klang termasuk fasiliti pembuatan Top Glove di sana.

 

Kebanyakan kes jangkitan merupakan mereka yang bukan warga tempatan.

 

Bilangan kes yang dicatatkan oleh kluster berkenaan menyaksikan jumlah kes positif tertinggi di Malaysia sehingga Selangor merekodkan jumlah kes terbesar dan berada dalam zon merah.

 

Dalam pada itu, pihak pengurusan Top Glove juga mengumumkan penutupan kilang bagi tujuan menyaring pekerja yang terlibat dan membolehkan mereka menjalani kuarantin.

 

Ini menyaksikan fasiliti pembuatan di kilangnya yang terletak di Meru menghentikan pengeluaran buat sementara waktu dan akan dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat.

 

Berikutan penutupan kilang termasuk pengurangan kapasiti operasi, para penganalisis meramalkan situasi itu bakal menjejaskan perolehan bagi tahun kewangan semasa syarikat. 

 

Setakat 2.23 petang, harga saham Top Glove merudum 1.26% kepada RM7.03. - DagangNews.com