Jual ladang sawit : Penganalisis tidak ubah unjuran kewangan TSH | DagangNews Skip to main content

Jual ladang sawit : Penganalisis tidak ubah unjuran kewangan TSH

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Firma penyelidikan, Kenanga Research tidak mengubah sebarang unjuran perolehan TSH Resources Berhad sementara menunggu langkah pelupusan ladang sawitnya selesai. 

 

Penganalisisnya, Adrian Kok bagaimanapun positif terhadap langkah tersebut kerana nilai pelupusan estetnya di Sabah pada kadar sekitar RM84,600 dilihat adil jika dibandingkan dengan nilai kebiasaan transaksi di negeri itu, kira-kira RM80,000. 

 

“Ini juga 39% premium kepada tawaran IOI Corporation Berhad bernilai RM60,800 untuk estetnya di Labuk dan Sugut, Kinabatangan dan Beluran. 

 

“Urus niaga ini adalah perjanjian yang lebih baik berbanding perjanjian TSH dan Kuala Lumpur Kepong Berhad yang ditamatkan, di mana memerlukan TSH untuk menjual estet utamanya di Indonesia (9,734 hektar) berharga RM460 juta (EV / hektar yang ditanam dengan harga RM47,100). Dengan profil umur berpurata 18.3 tahun,” jelas Kok. 

 

Dalam makluman TSH di Bursa Malaysia semalam, kumpulan mahu melupuskan dua ladangnya di Sabah berukuran 2,933 hektar dan satu kilang sawit pada nilai RM248 juta. 

 

TSH mengumumkan kumpulan telah memeterai perjanjian penjualan dan pembelian saham bersyarat dengan Sharikat Keratong Sdn. Bhd. (SKSB) untuk pelupusan Ladang Gomantong dan Ladang Ong Yah Ho di Kinabatangan, Sabah.

 

Transaksi pelupusan itu menggariskan tiga transaksi iaitu bernilai RM76 juta melibatkan 2,489 ekar Ladang Gomantong, RM152 juta pelupusan 4,942 ekar Ladang Ong Yah Ho dan RM20 juta kilang sawit berjumlah RM20 juta, iaitu Kilang Minyak Sawit Lahad Datu.

 

Kok menjangkakan pelupusan itu bakal mendatangkan keuntungan sehingga RM104.3 juta buat TSH.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘market perform’ ke atas saham TSH dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.05 sesaham.

 

Senada itu, MIDF Research menjangkakan langkah pelupusan itu dapat membolehkan kumpulan untuk mengurangkan pinjamannya yang sedia ada. 

 

Ini seterusnya dapat memberi impak positif ke atas perolehan kumpulan memandangkan dana tambahan daripada perjanjian itu membantu untuk mempercepatkan aktiviti penanaman semula kumpulan.

 

“Kami tidak mengubah sebarang unjuran perolehan kumpulan buat masa ini,” tambah firma itu lagi. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham TSH dengan TP tidak berubah pada kadar RM1.49 sesaham. 

 

“Ditambah faktor penyusutan pengeluaran buah sawit segar pada tahun ini dan peningkatan hartanah pelupusan, ini merupakan peluang buat TSH untuk mencatatkan keuntungan yang signifikan. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami kekal optimis terhadap prospek perolehan kumpulan terutamanya dari segmen sawit memandangkan paras harga minyak sawit mentah (MSM) baik ketika ini,” jelas MIDF lanjut. - DagangNews.com