KUALA LUMPUR 10 Dis - Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia kembali meningkat 5.4% tahun ke tahun kepada RM116.4 bilion, mencapai paras tertinggi yang pernah direkodkan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.4% atau RM2.4 bilion kepada RM55.8 bilion pada bulan tersebut.
Katanya, perdagangan runcit pada Oktober juga berkembang 5.1% atau RM2.3 bilion kepada RM46.5 bilion.
"Dalam tempoh sama, kenderaan bermotor kembali positif dengan 10.2% atau RM1.3 bilion kepada RM14.2 bilion, selepas beberapa siri pertumbuhan negatif dua digit sejak Jun 2021,” katanya dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit bagi Oktober 2021.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 7.7%, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan juga kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober 2021.
Mengenai prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan borong sebanyak 4.4% pada Oktober 2021 disokong oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 10.6% atau RM1.1 bilion kepada RM11.2 bilion.
Mohd. Uzir berkata, ini diikuti oleh lain-lain pengkhususan jualan borong dengan 5.1% untuk mencatatkan RM22.1 bilion.
"Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup juga meningkat 13.1% kepada RM4.7 bilion, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi. Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 5.3%,” katanya.
Bagi subsektor perdagangan runcit pula, kenaikan 5.1% disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan peningkatan 8.2% atau RM1.3 bilion kepada RM17.2 bilion.
Beliau berkata bagaimanapun, jualan runcit di kedai pengkhususan masih negatif untuk bulan kelima berturut-turut dengan -3.9%.
Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit meningkat 4.8% dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif.
Pertumbuhan 10.2% dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat semula 25.5% atau RM1.8 bilion kepada RM9.1 bilion. - DagangNews.com