Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Prestasi jualan runcit syarikat barangan kosmetik dan penjagaan diri, InNature Berhad (InNature) dijangka semakin merosot susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari 2021.
CGS-CIMB Research berkata, kemerosotan tersebut bagaimanapun dijangka mampu diimbangi oleh jualan e-dagang.
"Walaupun penjualan runcit dijangka lemah, kami percaya bahawa kelemahan ini akan dapat diimbangi oleh kenaikan penjualan e-dagang yang meningkat 2.5x berbanding tahun lalu sejak PKPB pada awal suku keempat tahun kewangan 2020.
"E-dagang menyumbang 8.9% daripada jumlah pendapatan untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020 berbanding 3.0% pada tempoh sama 2019," jelas CGS-CIMB Research.
Pada Hari Korporat Tahunan Malaysia ke-13 baru-baru ini, InNature memberitahu bahawa gelombang ketiga wabak COVID-19 di negara ini memberi kesan negatif kepada kedai The Body Shop (TBS) sejak awal suku keempat tahun kewangan 2020.
CGS-CIMB Research berpendapat, PKP 2.0 menyebabkan gangguan dan penyusutan runcit yang semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, kebanyakan cawangan iaitu kira-kira 80% tetap beroperasi susulan kebenaran pengoperasian runcit penjagaan diri tertentu yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Kedai-kedai yang tidak beroperasi majoritinya adalah yang terletak di pusat membeli-belah atau kedai serbaneka yang ditutup sepanjang tempoh PKP.
Dalam aspek operasi di Vietnam dan Kemboja, InNature dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2020 berbanding suku sebelumnya.
Hal ini kerana, kedua-dua negara tersebut telah berjaya mengawal penularan wabak COVID-19.
"Kami mengurangkan ramalan pendapatan InNature bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 5.3% hingga 6.1%.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham InNature dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah iaitu RM0.60," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com