Jualan ekuiti asing bersih September meningkat kepada RM2 bilion | DagangNews Skip to main content

Jualan ekuiti asing bersih September meningkat kepada RM2 bilion

Jualan ekuiti asing bersih

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Jumlah jualan ekuiti asing bersih meningkat kepada RM2.0 bilion pada September 2020.

Maybank IB Research berkata, peningkatan tersebut adalah ke-14 berturut-turut sejak Ogos 2019.

"Berdasarkan 21 hari jumlah perdagangan pada bulan September, pelabur asing mencatatkan jualan paling tinggi pada hari ke-16.

"Jualan ekuiti asing bersih yang terkumpul pada Januari hingga September 2020 berjumlah RM22.4 bilion iaitu dua kali ganda berbanding penjualan bersih RM11 bilion pada 2019," jelas Maybank IB Research.

Jumlah jualan ekuiti asing bersih selama 12 bulan mengikut peratusan daripada permodalan pasaran ekuiti negara berada pada tahap rendah iaitu -1.7%.

Jumlah tersebut adalah lebih rendah berbanding sebelumnya iaitu -1.4% pada Ogos hingga November 2015.

Pemegangan asing dalam ekuiti Malaysia perlu berada pada tahap 20% dan ke atas seperti Jun 2020 dan akhir 2019 dengan peratusan masing-masing sebanyak 21.4% dan 22.3%.

Dalam perbandingan negara serantau pula, jumlah jualan ekuiti asing bersih negara berada pada AS$475 juta pada September, di belakang Indonesia dan Thailand dengan masing-masing sebanyak AS$1.05 bilion dan AS$738 juta.

Sejak Januari hingga September 2020, penjualan bersih asing ekuiti Malaysia berada pada AS$5.3 bilion di belakang Thailand iaitu AS$8.7 bilion.

Namun dalam tempoh berkenaan, negara berada di hadapan Indonesia dan Filipina dengan masing-masing berjumlah AS$2.9 bilion dan AS$2.0 bilion. - DagangNews.com