Jualan ekuiti asing minggu lalu susut kepada RM27.8 juta | DagangNews Skip to main content

Jualan ekuiti asing minggu lalu susut kepada RM27.8 juta

Jualan ekuiti asing

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Jumlah jualan ekuiti tempatan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia mencatatkan penyusutan kepada RM27.8 juta pada minggu lalu.

Menurut analisis Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam), jumlah tersebut jauh berbeza dengan minggu sebelumnya iaitu RM543.7 juta.

"Jumlah tersebut menunjukkan jumlah aliran keluar asing mingguan kedua terendah yang dicatatkan sepanjang tahun 2020.

"Bursa minggu ini memulakan langkah dengan 'kaki kanan' kerana pelabur antarabangsa memperoleh RM34.3 juta ekuiti tempatan bersih pada Isnin lalu.

"Ia disusuli dengan KLCI yang ditutup 0.8% lebih tinggi pada 1,512.4 mata pada hari yang sama seiring dengan pasaran serantau lain," jelas Bank Islam.

Kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes COVID-19 global pada Isnin lalu dibayangi oleh keadaan kesihatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bertambah baik sekali gus membantu mengurangkan tekanan pelabur  akibat ketidaktentuan politik.

Tambah Bank Islam, pelabur asing melupuskan RM66.8 juta ekuiti tempatan bersih pada Selasa lalu sekali gus menjangkaui aliran masuk asing pada Isnin.

Pada Rabu pula, suasana berubah kepada suram susulan Trump membuat pengumuman untuk menghentikan perbincangan berkaitan dengan bantuan ekonomi hingga selepas pilihan raya di negara berkenaan.

"Susulan itu, pelabur antarabangsa membuang RM161.4 juta ekuiti tempatan bersih yang mengakibatkan KLCI 13% lebih rendah dan ditutup di bawah 1,500 mata. 

"Pelabur luar pesisir (offshore) kembali ke Bursa pada Khamis meskipun pada tahap RM38.6 juta.

Pelabur antabangsa meningkatkan aktiviti pembelian pada Jumaat lalu dengan memperoleh RM127.4 juta ekuti tempatan bersih kerana mereka optimis terhadap kongres AS yang akan mencapai kesepakatan dalam rangsangan fiskal. - DagangNews.com