Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 April - Jumlah keseluruhan industri (TIV) diunjur sebanyak 550,000 unit bagi tahun 2021.
MIDF Research berkata, unjuran yang diletakkan itu adalah 4% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
"Kami mengunjurkan TIV 2021 sebanyak 550,000 unit iaitu peningkatan 4% tahun ke tahun.
"Unjuran itu adalah lebih rendah berbanding sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 8% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (570,000).
"Selain itu, sasaran yang diletakkan oleh pihak konsensus juga adalah lebih tinggi sekitar 9% hingga 13% tahun ke tahun," jelas MIDF Research.
Mengekalkan penarafan 'positif' pada sektor automotif, MIDF Research memberitahu, UMW Holdings Berhad (UMW) (BELI, TP: RM4.30) , MBM Resources Berhad (MBMR) (BELI, TP: RM4.20) dan Bermaz (BELI, TP: 1.70) menjadi pilihan pihaknya.
Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research turut menyatakan maklumat berkaitan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang menggariskan cadangan awal agenda kenderaan elektrik negara.
Cadangan utama pelan berkenaan adalah termasuk sistem percukaian kenderaan yang dinilai berdasarkan kepada pelepasan karbon, pengenalan levi bahan bakar, pengecualian duti eksais bagi kenderaan BEV (battery electric vehicles) dan PHEV (plug-in hybrid vehicles).
Selain itu, pelan tersebut juga mengandungi cadangan dan sasaran pembinaan 7,000 stesen pengecasan AC serta 500 stesen pengecasan DC.
Cadangan yang tertakluk kepada kelulusan kabinet tersebut turut menyasarkan penggunaan sehingga 50% kenderaan elektrik bagi kenderaan kerajaan dan GLC menjelang 2026-2030. - DagangNews.com