Jualan kenderaan akan meningkat semula pada 2022 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan akan meningkat semula pada 2022 - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Sektor automotif dijangka bertambah baik pada tahun hadapan dengan merekodkan jualan keseluruhan industri (TIV) yang lebih tinggi apabila ekonomi dibuka semula.

 

Ini berdasarkan kepada TIV Ogos yang meningkat kepada 17,500 unit berbanding bulan sebelumnya sebanyak 7,086 unit. 

 

Malah, jumlah pengeluaran juga meningkat daripada 2,775 pada Julai kepada 13,961 pada Ogos memandangkan syarikat pengeluar kenderaan tempatan, Perodua dan Proton kembali memulakan operasi. 

 

Prestasi yang lebih baik pada bulan tersebut didorong pembukaan galeri pameran di banyak negeri apabila sekatan pergarakan dilonggarkan termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur, sejak 13 Ogos lalu. 

 

Meskipun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan TIV bagi September akan terus meningkat, namun, CGS-CIMB berpendapat kekurangan bekalan cip semikonduktor dijangka menjejaskan beberapa model terpilih merentasi semua sektor. 

 

Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam bagaimanapun mengekalkan unjuran TIV bagi tahun ini kira-kira 500,000 unit sejajar dengan sasaran MAA. 

 

"Unjuran kami ini adalah berdasarkan kepada penurunan 5.6% tahun ke tahun bagi 2021 disebabkan jumlah jualan merosot bagi kereta nasional dan bukan nasional masing-masing 3% dan 10%. 

 

"Kami melihat TIV suku keempat dijangka meningkat didorong pembukaan semula sektor automotif dan promosi akhir tahun tetapi, TIV pada suku ketiga dijangka menyusut 7% suku ke suku dan 41% tahun ke tahun," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma tersebut mengekalkan unjuran 'neutral' terhadap sektor automotif Malaysia dan memilihan Sime Darby Bhd sebagai saham pilihan utama dengan meletakkan saranan 'tambah' pada harga sasaran RM2.95 sesaham. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, TIV bagi tahun kekal diunjur pada 460,000 unit sebelum meningkat kepada 600,000 unit pada 2022. 

 

Katanya, unjuran itu sejajar dengan sasaran MAA bagi tahun ini sebanyak 500,000 unit dan 605,000 bagi tahun hadapan.

 

"Dengan pembukaan semula ekonomi, kami menjangkakan jualan kenderaan terutama tempahan bagi model popular akan kembali pulih," katanya. 

 

Tambah beliau, pertumbuhan TIV pada 2022 dipacu oleh jangkaan pemulihan ekonomi dan sasaran mencapai imunisasi kelompok serta kelonggaran SOP membolehkan permintaan kenderaan penumpang semakin meningkat. 

 

"Selain itu, beberapa pengeluar kenderaan turut menyatakan komitmen mereka untuk menyerap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas Disember 2021," jelasnya.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor automotif Malaysia. - DagangNews.com