Jualan kenderaan di China melonjak 12.8% | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan di China melonjak 12.8%

Pemain industri automatif menyifatkan bulan September sebagai 'emas' dan Oktober sebagai 'perak' memandangkan ia merekodkan jualan kenderaan paling tinggi.

BEIJING 13 Okt. - Jualan kenderaan di China berkembang 12.8% pada September berbanding tempoh sama tahun lalu, menandakan kenaikan enam bulan berturut-turut selepas pasaran terbesar kenderaan di dunia itu berdepan dengan sekatan akibat pandemik COVID-19. 

Menurut Reuters, data Persatuan Pengeluar Kenderaan China menunjukkan jualan mencecah 2.57 juta kenderaan pada bulan lalu. 

"Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, jualan kenderaan masih rendah pada paras 6.9% dengan 17.12 juta kenderaan," katanya. 

Pemain industri automatif menyifatkan September sebagai 'emas' dan Oktober sebagai 'perak' memandangkan ia merekodkan jualan kenderaan paling tinggi. 

Perkembangan positif ini menyaksikan jualan kenderaan penumpang meningkat 8% pada September. Pengeluar kenderaan, Geely Automobile Holdings Ltd, Great Wall Motor Co Ltd dan Toyota Motor Corp pula merekodkan pertumbuhan dua digit. 

Pada masa sama. jualan bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) menyaksikan lonjakan sehingga 67.7% kepada 138,000 buah bagi tempoh tiga bulan berturut-turut. 

Ini termasuk kenderaan yang dikuasakan dengan bateri elektrik, pemasangan petrol elektrik hibrid dan sel bahan bakar hidrogen.  

Pengeluar kenderaan elektrik tempatan seperti Nio Inc dan Xpeng Inc hinggalah kepada jenama terkenal Amerika Syarikat (AS), Tesla Inc meningkatkan kapasiti pengeluaran di China sejajar dengan langkah kerajaan mengalakkan kenderaan hijau bagi mengurangkan pencemaran udara yang kronik. 

Bagi trak dan kenderaan komersial lain, yang menyumbang kira-kira suku daripada keseluruhan pasaran, turut melonjak sehingga 40% didorong pelaburan kerajaan dalam infrastruktur dan pembeli yang menaiktaraf bagi mematuhi peraturan pelepasan yang ketat. - DagangNews.com