KUALA LUMPUR 17 Nov - Jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka mencatatkan rekod tertinggi tahun ini meskipun pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sudah berakhir 30 Jun lalu.
Sebelum ini, TIV pernah mencapai paras tertinggi pada 2015 dengan 666,674 unit sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan.
Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz menyemak semula unjuran TIV tahun ini kepada 680,000 unit daripada 650,000 unit sebelum ini, melebihi unjuran yang disasarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada 630,000 unit.
Semakan semula itu, katanya, berdasarkan penghantaran pesanan tertunggak yang lebih pantas dengan masalah kekurangan bekalan alat ganti untuk model tertentu semakin mereda (iaitu Perodua dan Toyota).
"Oleh itu, kami juga menaikkan unjuran TIV bagi 2023 kepada 690,000 unit daripada 660,000 unit yang dianggarkan sebelum ini.
"Ini akan menyaksikan jualan kenderaan di Malaysia bagi 2022 dan 2023 akan merekodkan paras tertinggi dalam sejarah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Industri automotif tempatan meneruskan momentum jualan positif apabila TIV bulanan kekal melebihi 60,000 unit yang dicapai sejak Ogos lalu pada Oktober.
Meskipun prestasi jualan pada Oktober sedikit menurun kepada 61,002 unit, pencapaian itu masih kukuh menuju ke sasaran MAA iaitu 630,000 unit.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, industri automotif tempatan merekodkan TIV berjumlah 577,902 unit, hanya 52,098 unit untuk mencapai sasaran MAA.
Pada 20 Jun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Wan Mustaqim berkata, bagi memastikan pengguna terus kembali ke bilik pameran, syarikat automotif terus memperkenalkan model baharu di pasaran yang juga mendapat margin lebih baik.
Setakat ini, katanya, pesanan tertunggak mencapai sebanyak 350,000 unit, tetapi tidak membabitkan kesemua model kenderaan.
"Model baharu seperti Alza mempunyai tempoh menunggu sehingga 12 bulan, akan dihantar dan didaftarkan sebelum Mac 2023 untuk menikmati pengecualian SST (walaupun tempahan dibuat sebelum akhir Jun 2022).
"Ini bermakna TIV tidak akan menurun selepas Mac 2023. Selain itu, pelancaran kenderaan elektrik bateri baharu (BEV) yang akan menikmati pengecualian SST dan instentif lain sehingga 2024 bagi CBU dan 2025 bagi CKD, juga terus menyokong TIV," jelasnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif dengan pilihan utamanya ialah MBM Resources Bhd. dan Bermaz Auto Bhd.
Kedua-dua saham ini diberi pandangan 'outperform' dengan harga sasaran masing-masing pada RM4.45 dan RM2.30 sesaham. - DagangNews.com