Jualan kenderaan Kumpulan UMW melonjak 20.4% pada Januari 2022 dengan Vios, Hilux, Yaris jadi model terlaris | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan Kumpulan UMW melonjak 20.4% pada Januari 2022 dengan Vios, Hilux, Yaris jadi model terlaris

Vios menjadi antara model terlaris yang menyumbang kepada peningkatan jualan kenderaan untuk Kumpulan UMW.

KUALA LUMPUR 21 Feb - Jualan kenderaan Kumpulan UMW melonjak 20.4% kepada 24,972 unit pada Januari 2022 berbanding 20,740 unit yang dijual pada bulan yang sama 2021 dengan Vios, Hilux dan Yaris menjadi model terlaris pada bulan itu.

 

Kumpulan UMW berkata, UMW Toyota Motor (UMWT) merekodkan peningkatan jualan hampir dua kali ganda dengan 7,528 unit, iaitu 95.8 % lebih tinggi berbanding 3,845 unit yang dijual pada Januari tahun lalu.

 

“Bagi memperluas penawaran produknya dalam ruang kenderaan elektrik, UMWT melancarkan Toyota Corolla Cross pada 14 Januari 2022 iaitu kenderaan elektrik hibrid (HEV) pertama dengan pemasangan tempatan pada platform ‘New Global Architecture’ Toyota (TNGA)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Syarikat sekutunya, Perodua, mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 17,444 unit pada Januari 2022, meningkat 3.2% daripada 16,895 unit yang dijual pada Januari 2021.

 

Perodua menyasarkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 247,800 unit tahun ini, peningkatan sebanyak 30% daripada 190,291 unit yang dijual pada 2021, jelasnya.

 

“Perodua merancang untuk meningkatkan pengeluaran kepada 265,900 kenderaan pada tahun ini dan dalam pada itu, akan membeli komponen bersumberkan tempatan bernilai RM7.5 bilion pada 2022 yang akan mengekalkan dan memperkukuh industri automotif tempatan,” katanya.

 

keta

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan jualan dalam beberapa bulan akan datang.

 

keta

 

“Ini akan disokong oleh pengenalan model baharu yang menarik serta pengecualian cukai jualan,” katanya.

 

Beliau berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat hampir 18% kepada 600,000 unit pada 2022, disokong oleh unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara (KDNK) di antara 5.5% dengan 6.5% bagi tahun ini, sokongan berterusan daripada kerajaan serta peningkatan keyakinan pengguna. - DagangNews.com