Pelancaran X50 pada 27 Oktober lalu dijangka melonjakkan jumlah TIV menjelang akhir tahun ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif pada Oktober dijangka merekodkan jualan sekitar 57,000 hingga 58,000 unit.
Jumlah ini setanding yang dicapai pada Julai lalu didorong beberapa faktor terutamanya pemberian moratorium yang berakhir 30 September lalu dan pelaksanaan semula perintah sekatan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai pertengahan Oktober.
Selain itu, pengeluar kenderaan juga merekodkan jualan awal pada Oktober yang dilihat positif kepada sektor automotif.
Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, Perodua merekodkan jualan tertinggi iaiu 26,852 unit pada Oktober meningkat 18% tahun ke tahun manakala Proton pula melaporkan peningkatan 20% tahun ke tahun.
Pada masa sama, UMW Toyota turut merekodkan peningkatan 17% pada Oktober dengan jualan 6,468 unit berbanding September.
"Trend TIV yang kukuh ini akan mencerminkan hasil yang akan diperolehi sektor ini pada suku ketiga.
"Ini disokong terutamanya menerusi insentif pengecualian cukai dan pemulihan makro secara berperingkat-peringkat," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan TIV bagi Julai hingga September, suku ketiga dijangka merekodkan pemulihan yang lebih kukuh.
Secara keseluruhan, TIV bagi tempoh itu berjumlah 167,131 unit dengan pertumbuhan 14% tahun ke tahun dan peningkatan 147% suku ke suku.
Ini menjadikan TIV suku ketiga adalah paling kukuh dalam tempoh tiga tahun lalu.
Malah, sebelum pelancaran baru pada Oktober, pemain industri telah memperoleh senarai tempahan antara 1 hingga 2 bulan yang boleh memperkukuhkan kedudukan mereka untuk Oktober dan November.
"Kami menjangkakan TIV akan terus meningkat menjelang hujung tahun ini dengan beberapa pelancaran baharu model kenderaan termasuk pada Oktober.
"Untuk itu, kami mengekalkan unjuran TIV tahun ini pada 523,000 unit," katanya. - DagangNews.com