Jualan kenderaan September 2020 melonjak 26%  | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan September 2020 melonjak 26% 


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada September 2020 menyaksikan peningkatan sehingga 26% kepada 56,444 unit berbanding 44,666 unit pada tempoh sama tahun lalu. 

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan bulan lalu juga meningkat sebanyak 7% berbanding Ogos 2020. 

Ini sekali gus menandakan peningkatan bulanan kedua tertinggi setakat ini bagi tahun 2020. 

“Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 51,422 unit daripada 40,267 pada September 2019 dan jualan kenderaan perdagangan juga meningkat kepada 5,022 daripada 4,399.

“Peningkatan umlah jualan lebih tinggi pada September 2020 didorong kempen promosi berterusan oleh syarikat kenderaan dan pengeluaran model yang lebih banyak,” kata MAA.

Bagaimanapun, dari awal tahun sehingga kini, jumlah jualan yang merangkumi 341,489 unit menurun sebanyak 22.9% daripada 442,985 pada tempoh sama tahun lalu. 

Dari segi pengeluaran pula, September 2020 menyaksikan peningkatan sebanyak 15.26% kepada 51,987 unit berbanding 45,101 unit pada September 2019. 

Bagi bulan hadapan, MAA menjangkakan jumlah jualan lebih rendah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya selain sikap berhati-hati pelanggan terhadap penamatan moratorium pinjaman. - DagangNews.com