Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Jumlah jualan kenderaan terus melonjak ketara kepada 44,275 unit pada September, berbanding 17,500 unit yang dijual pada bulan sebelumnya.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah 153% lebih tinggi pada September berbanding Ogos.
"Lonjakan jualan pada bulan dikaji disokong operasi semula perniagaan di seluruh negara berikutan pelonggaran sekatan yang dilaksanakan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MAA berkata, kekurangan cip komputer bagaimanapun menjejaskan jualan beberapa pengeluar pada bulan dikaji.
"Beberapa pengeluar juga berdepan dengan pembatalan tempahan disebabkan sentimen pengguna yang rendah," katanya.
Pada September, industri automotif negara mencatatkan jualan 44,275 unit kenderaan, 7% lebih rendah berbanding 57,758 unit yang dijual pada bulan sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, kenderaan penumpang mewakili jualan sebanyak 38,315 unit, manakala bakinya 5,960 unit membabitkan kenderaan komersial.
MAA berkata, sehingga September tahun ini, industri automotif tempatan menjual 318,874 unit kenderaan, lebih rendah berbanding 344,019 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
"Untuk pengeluaran, sejumlah 45,972 unit kenderaan dihasilkan pada September mewakili 42,556 unit kenderaan penumpang dan selebihnya 3,416 unit adalah kenderaan komersial.
"Dalam tempoh Januari hingga September 2021, sejumlah 303,996 unit kenderaan dikeluarkan, lebih rendah berbanding 315,863 unit yang dihasilkan tempoh sama tahun lalu," jelasnya.
Dalam pada itu MAA menjangkakan jualan kenderaab pada bulan ini lebih baik berbanding September disokong perniagaan yang kembali beroperasi di seluruh negara, ia susulan peningkatan pengeluaran dan penghantaraan kenderaan daripada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan. -DagangNews.com