Jualan kereta Proton menurun akibat kekurangan stok, terkesan banjir | DagangNews Skip to main content

Jualan kereta Proton menurun akibat kekurangan stok, terkesan banjir

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Jualan pengeluar kereta nasional, Proton untuk bulan pertama tahun ini menurun apabila mencatatkan jualan sebanyak 4,453 unit disebabkan kekurangan stok tersedia dan kesan banjir teruk di Selangor.

 

Nilai jualan domestik dan eksport itu mengalami pengurangan sebanyak 25.3% daripada bulan sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik 11.3%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, walaupun kilang pengeluaran Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas akibat banjir pada bulan Disember tahun lepas, namun vendor syarikat pula tidak bernasib baik. 

 

Jelasnya, ramai mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam terjejas banjir, sekali gus memberi kesan terhadap jumlah pengeluaran pada bulan lepas yang menyebabkan kekurangan unit bagi memenuhi pesanan. 

 

Beliau berkata, pegangan stok yang rendah daripada bulan sebelumnya berikutan syarikat sedang berusaha merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

 

“Selepas menamatkan tahun 2021 dengan kejayaan, Januari merupakan bulan yang sangat sukar bagi Proton. Situasi kekurangan bekalan kami menjadi lebih ketara apabila terdapat kekurangan dalam unit dikeluarkan, seterusnya memberi kesan teruk bagi pengedar. 

 

"Kami bersyukur pengeluaran semua model berjaya disambung semula pada bulan Januari, walaupun sesetengah model memerlukan lebih banyak masa dan kami yakin dapat mencapai sasaran 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Roslan berkata, Proton X50 dan Proton X70 merupakan model pertama yang memulakan semula pengeluaran dan ini dapat dilihat dalam jumlah jualan Januari. 

 

 

proton
Roslan Abdullah

 

 

"Sebanyak 2,601 unit Proton X50 dan 799 unit Proton X70 telah dijual pada bulan lepas. Walaupun jumlah individu adalah sederhana berbanding bulan sebelumnya, jualan gabungan kedua-dua model meletakkan Proton sebagai jenama SUV nombor satu di Malaysia," katanya.

 

 

proton

 

 

Sementara itu, beliau berkata, lebih 1,200 kenderaan Proton terjejas banjir telah diterima di pusat servis rasmi syarikat. 

 

Katanya, ia kemudiannya dibahagikan kepada empat kategori, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami sebelum penilaian dibuat dan pembaikan dijalankan.

 

 

proton

 

 

"Proton ingin mengingatkan semua pelanggan mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat perkhidmatan rasmi kami untuk menikmati perkhidmatan menunda dan cucian kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh. 

 

 

proton

 

 

"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami,” katanya. - DagangNews.com