KUALA LUMPUR 15 Dis - Jumlah jualan kereta di Malaysia pada November menyusut 4% kepada 71,908 unit berbanding 74,896 unit dalam Oktober, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Dalam satu kenyataan media hari ini, MAA berkata jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) itu melebihi 70,000 jumlah jualan bulanan untuk kali ketiga tahun ini.
Walaupun angka untuk November adalah 4% lebih rendah bulan ke bulan, MAA berkata jualan tahun ini setakat November 2023 pada 718,748 unit menunjukkan peningkatan 12% berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu 644,534 unit.
Katanya, ini menunjukkan potensi untuk melepasi TIV tertinggi sepanjang masa tahun lepas sebanyak 720,658 unit untuk tahun penuh 2023.
Selain itu, jumlah pengeluaran industri bagi November 2023 sebanyak 67,743 unit adalah jauh lebih rendah berbanding 74,191 unit pada Oktober 2023.
Angka ini menunjukkan penurunan ketara sebanyak 8.67% jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.
MAA meramalkan jualan pada Disember 2023 sepadan dengan jualan dari November 2023. - DagangNews.com