Jualan rokok 1Q21 dijangka meningkat akibat PKP 2.0 | DagangNews Skip to main content

Jualan rokok 1Q21 dijangka meningkat akibat PKP 2.0

Jualan rokok 1Q21 dijangka meningkat akibat PKP 2.0


Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Jualan rokok dilihat berpotensi meraih peningkatan bagi tempoh suku pertama 2021 (1Q21) akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kali kedua (PKP 2.0).

 

CGS-CIMB Research berkata, bekalan rokok sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 2.0 dilihat berkurangan dan hampir kosong.

 

"Ketika gelombang ketiga jangkitan COVID-19 meningkat pada akhir 2020, kerajaan Malaysia menjalankan PKP 2.0 pada Januari 2021.

 

"Tidak lama selepas itu, kami membuat pantauan terhadap bekalan rokok di beberapa kedai runcit sekitar Lembah Klang sekiranya terdapat risiko gangguan bekalan seperti PKP pertama pada Mac 2020.

 

"Tinjauan itu amat tepat apabila beberapa minggu pertama pelaksanaan PKP 2.0, kami mendapati rak rokok di beberapa kedai hampir kosong," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research memberitahu, British American Tobacco (BAT) mengesahkan bahawa pihaknya tidak berdepan sebarang masalah sekatan pengedaran bekalan rokok semasa PKP 2.0.

 

Malah, BAT berpendapat bekalan rokok yang berkurangan dalam tempoh berkenaan berpunca daripada aktiviti pembelian panik.

 

Menilai kepada pendapat berkenaan, CGS-CIMB Research memberitahu, teori berkenaan adalah logik kerana perokok berkemungkinan bimbang sekiranya keperluan nikotin mereka terhalang seperti yang berlaku pada PKP pertama.

 

"Oleh itu, berkemungkinan berlakunya peningkatan jualan pada suku pertama 2021 dan tahun ke tahun.

 

"Hasil perbualan dan pemeriksanaan kami dengan perokok di ruangan media sosial juga mendapati bahawa rokok haram kini adalah sukar untuk diperoleh," ujar CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research meningkatkan jangkaan perolahan sesaham (EPS) BAT sebanyak 1% hingga 4% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 di samping menjangkakan jualan yang lebih baik bagi rokok jenama Dunhill.

 

Tambah nota kajian itu, ramalan berkenaan bagaimanapun tidak mengambil kira sumbangan vape kerana belum adanya perincian berkaitan tempoh tepat BAT melancarkan produk berkenaan di Malaysia.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham BAT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM18.23. - DagangNews.com