Jualan sarung tangan getah diunjur meningkat pada separuh kedua 2024 didorong keseimbangan dinamik permintaan-bekalan | DagangNews Skip to main content

Jualan sarung tangan getah diunjur meningkat pada separuh kedua 2024 didorong keseimbangan dinamik permintaan-bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Jualan sarung tangan getah diunjur meningkat pada separuh kedua tahun ini didorong dinamik permintaan-bekalan yang lebih seimbang, kata RHB Investment.

 

Katanya, keadaan itu akan membawa kepada peningkatan keuntungan kepada pengeluar sarung tangan.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dan menjangkakan ia akan mencapai keseimbangan permintaan-bekalan menjelang akhir 2024.

 

"Kami juga menjangkakan risiko persaingan harga daripada pengeluar sarung tangan China berkurangan secara beransur-ansur ekoran kebimbangan terhadap kualiti produk yang mengakibatkan kadar penolakan yang lebih tinggi daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment berkata, dinamik permintaan-bekalan industri menunjukkan tanda-tanda pemulihan memandangkan jumlah pesanan April-Mei 2024 menunjukkan peningkatan ketara.

 

"Kami merasakan bahawa normalisasi tarif gas dan penstabilan purata harga jualan (ASP) boleh menghasilkan keuntungan pada tahun ini.

 

"Kami juga menjangkakan aliran pemulihan permintaan lebih baik pada separuh kedua 2024 sebelum pengembangan kapasiti dimulakan semula menjelang 2025 dab 2026," katanya.

 

Bagaimanapun, terdapat beberapa risiko dalam sektor itu termasuk pemintaan yang lebih lemah daripada jangkaan, kesukaran untuk melepaskan kos kepada pelanggan selain kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah eksport sarung tangan Malaysia melonjak 6% dari bulan ke bulan pada Februari 2024, meneruskan pertumbuhan positif untuk dua bulan berturut-turut.

 

Katanya, eksport sarung tangan China menguncup sebanyak 15% dari bulan ke bulan pada Februari 2024 berikutan pertumbuhan 4% pada bulan Januari.

 

"Pilihan utama kami dalam sektor itu termasuk Riverstone Holdings Ltd, Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd," katanya. - DagangNews.com