Jualan tahun 2021 Perodua merosot 13.6% kepada 190,291 unit | DagangNews Skip to main content

Jualan tahun 2021 Perodua merosot 13.6% kepada 190,291 unit

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bagi 2021 mencatat penurunan jualan pada tahun lalu, iaitu 190,291 unit, merosot 13.6% berbanding 220,154 unit yang dicatat tahun sebelumnya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad  berkata, ia susulan kesan daripada COVID-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan banjir baru-baru ini yang memberi kesan buruk kepada pengeluaran.

 

"Sejumlah 190,291 pendaftaran adalah di bawah sasaran kami iaitu 200,000 unit untuk 2021 kerana cabaran pada tahun lalu adalah lebih besar daripada yang dijangkakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

 

Bagaimanapun Zainal Abidin berkata, Perodua berjaya mencatatkan jualan sebanyak 22,940 unit kenderaan pada Disember, meningkat 13% daripada 20,299 unit yang dijual pada November di sebalik prestasi suram dalam jualan keseluruhan 2021.

 

"Angka jualan lebih baik pada bulan lalu adalah hasil positif daripada tindak balas terhadap gangguan bekalan yang terputus akibat COVID-19," katanya.

 

Bagaimanapun ujar beliau, model Perodua Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model dengan 47,525 unit berjaya dijual diikuti Axia dan Bezza yang menguasai pasaran segmen A negara.

 

"Kami berterima kasih kepada pelanggan atas sokongan dan pemahaman mereka, terutama mereka yang sabar menunggu kenderaan Perodua mereka. Insya-Allah, penghantaran akan bertambah baik pada bulan-bulan akan datang," katanya.

 

Dalam pada itu mengulas mengenai prestasi industri secara keseluruhan tahun lalu, beliau berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka berdepan impak dengan jangkaan penurunan 23.6% kepada 504,536 unit daripada 528,172 unit yang dijual pada tahun 2020.

 

Beliau turut berkata, syarikat juga berkemungkinan menyemak semula sasaran jualan bagi tahun 2022 selepas mengambil kira perkembangan semasa.

 

"Pada Disember, kami meletakkan sasaran jualan 240,000 untuk 2022, bagaimanapun, kami mungkin akan menyemak semula angka itu akhir bulan ini selepas mengambil kira perkembangan dan peristiwa terkini sebagai pertimbangan," katanya. -DagangNews.com