Jualan trak pikap Isuzu D-Max catat peningkatan 4.8% kepada 9,650 unit pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Jualan trak pikap Isuzu D-Max catat peningkatan 4.8% kepada 9,650 unit pada 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Trak pikap Isuzu D-Max meneruskan pertumbuhan 4.8% melalui rekod jualan memberangsangkan pada 2023 dengan mengatasi angka 9,211 unit yang dijual pada 2022, yang mana melibatkan pertambahan jualan sebanyak 439 unit.

 

Isuzu Malaysia berkata, rekod baharu dengan jualan 9,650 unit bagi tahun lalu menjadi bukti kepada keberhasilan rekaan dan ciri yang ditawarkan trak pikap berkenaan, yang telah mengubah pasaran dan meraih lebih banyak penggemarnya. 

 

"Dengan rekod jualan dua tahun berturut-turut di Malaysia, Isuzu D-Max generasi ketiga berjaya membuka jalan tersendiri dan menjadi trak pikap pilihan pengguna," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Isuzu Malaysia, dengan barisan lapan varian komprehensif untuk Isuzu D-Max, pelanggan boleh memilih model bersesuaian dengan kegunaan mereka, bermula dari versi 'Single Cab' hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

 

"Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang menyumbang sebanyak 28% jualan. Varian ini menjadi begitu popular kerana kapasiti enjinnya yang menjimatkan bahan api serta memberi manfaat kadar cukai jalan dan kos penyelenggaraan yang rendah, tetapi dengan prestasi mengagumkan," katanya.

 

Katanya, permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023, didorong tahap kecanggihan dan penampilannya yang segar serta kemampuan prestasi 'off-road' yang diberikan.

 

"Walaupun masih baru dalam segmen trak pikap gaya hidup, X-Terrain semakin ke depan dan meraih banyak perhatian. 

 

 

isuzu

 

 

"Jualannya juga meningkat sebanyak 24.5% sejak pelancarannya. Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan," katanya.

 

Katanya, permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama itu untuk berada di kedudukan kedua di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap. Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan ketiga dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6%.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model itu disebabkan cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan. 

 

 

isuzu
Shunsuke Okazoe

 

 

Katanya, model baharu itu juga memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185%, dan dalam masa sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada.

 

"Isuzu D-Max generasi ketiga menjadi model penting bagi jenama ini kerana ia menggabungkan keupayaan kejuruteraan terbaik Isuzu dengan kecanggihan kenderaan moden serta rekaan ergonomik yang diperlukan pengguna.

 

"Ini menjadikan D-Max sebuah trak pikap yang sangat berkeupayaan dalam memenuhi keperluan setiap penggunanya. Ia trak untuk semua," katanya.  - DagangNews.com