Jualan UMW Holdings Januari positif | DagangNews Skip to main content

Jualan UMW Holdings Januari positif

UMW Holdings Bhd. (UMW)

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Syarikat automotif UMW Holdings Bhd. (UMW) berjaya mencatatkan prestasi jualan yang baik bagi Januari 2021.

 

Prestasi positif itu turut melibatkan anak syarikatnya iaitu UMW Toyota Motor (UMWT) dan  syarikat bersekutu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua). 

 

"UMWT berjaya menjual 3,845 unit kenderaan pada Januari, naik 4.1% berbanding 3,692 unit yang terjual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Perodua mencatatkan jualan sebanyak 16,894 unit pada Januari.

 

"Permintaan yang berterusan ini disebabkan oleh insentif pengecualian cukai jualan yang telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2021," jelas UMW seperti dilapor Bernama.

 

Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model terlaris UMWT pada bulan berkenaan.

 

Bagi meningkatkan lagi penawaran produk untuk tahun 2021, UMWT telah memperkenalkan Toyota Fortuner dan Innova yang dikemas kini pada 2 Feb lalu.

 

Bagi Perodua pula, UMW meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 240,000 unit pada 2021.

 

Sasaran yang diletakkan itu meningkat 9%  berbanding 220,163 unit yang dijual pada 2020. 

 

"Perodua juga merancang untuk meningkatkan stoknya dengan menyasarkan pertambahan pengeluaran kepada 272,000 kenderaan tahun ini.

 

"Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam sejarah dan dalam proses itu, akan membeli komponen sumber tempatan bernilai RM6.5 bilion pada 2021 yang akan memberi keuntungan kepada industri automotif domestik," jelas UMW lagi.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, UMWT dan Perodua akan terus memberi tumpuan untuk memperkenalkan model baharu dan yang dinaik taraf.

 

Ia termasuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang unggul bagi memenuhi kehendak dan harapan pelanggan dalam usaha mencapai sasaran kumpulan pada 2021. - DagangNews.com