Jualan vaksin Sinovac pacu prestasi kewangan Pharmaniaga bagi FY21  | DagangNews Skip to main content

Jualan vaksin Sinovac pacu prestasi kewangan Pharmaniaga bagi FY21 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Dis - Pharmaniaga Bhd. mencatat keuntungan bersih sebanyak RM85.45 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih yang dialaminya pada tahun kewangan 2020 berjumlah RM6.33 juta. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 12% kepada RM711.72 juta berbanding RM634.58 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Peningkatan itu didorong pertumbuhan positif merentasi semua perniagaan konsesi, bukan konsesi dan operasi di Indonesia.

 

Perniagaan bukan konsesi merupakan pemacu utama berikutan jualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada sektor swasta.

 

Sementara itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih kumpulan meningkat kepada RM172.15 juta daripada RM27.49 juta manakala pendapatan turut meningkat 77% kepada RM4.82 bilion berbanding RM2.73 bilion bagi tempoh sama 2020.

 

Prestasi lebih baik ini terutamanya disumbangkan menerusi jualan vaksin Sinovac kepada Kementerian Kesihatan dan sektor swasta.

 

Ia juga didorong oleh pertumbuhan kukuh perniagaan konsesi, bukan konsesi dan juga Indonesia.

 

Mengenai prospek kumpulan, Pharmaniaga berkata, ia akan mengekalkan momentum pertumbuhan dalam segmen penjagaan kesihatan pengguna dan mencapai pertumbuhan 2 digit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan merancakkan lagi pemasaran bagi produk penjagaan kesihatan pengguna.

 

Katanya, kumpulan juga kekal komited untuk memperluaskan perniagaan bukan konsesi dengan memulakan penubuhan vaksin halal dan kemudahan insulin pertama di dunia. 

 

"Pembinaan bagi kemudahan ini berjalan lancar dan berada dalam landasan untuk dikomersialkan menjelang 2025, tanpa sebarang perkara dijangkakan," katanya. - DagangNews.com